
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Feb keputusan rayuan pendakwaan bagi mengembalikan sabitan terhadap bekas pengerusi Felda, Isa Samad, yang didakwa menerima rasuah RM3 juta melalui pembantunya berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching 12 tahun lalu.
Terdahulu, pendakwaan yang berhujah di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Nordin Hassan berkata tidak perlu bukti sokongan untuk membuktikan Isa menerima sogokan itu melalui Zahid Arip, pegawai khasnya ketika itu.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berhujah bahawa memadai di sisi undang-undang bagi pendakwaan membuktikan tertuduh menerima suapan tersebut.
“Inilah kedudukan undang-undang semasa untuk mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.
Afzainizam berkata keterangan menunjukkan Zahid mengambil wang daripada ahli perniagaan Sarawak, Ikhwan Zaidel, yang kemudian dihantar ke pejabat Isa dalam beg kertas dalam sembilan kejadian antara Julai 2014 hingga Dis 2015.
Pendakwa berkata wang itu merupakan ganjaran atas bantuan Isa dalam mendapatkan kelulusan lembaga pengarah Felda Investment Corp Sdn Bhd (FICSB) bagi pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites.
“Pada setiap kejadian, Zahid hanya meletakkan wang itu di atas meja,” katanya, sambil menambah bahawa perkara itu mencukupi untuk membuktikan penerimaan wang oleh Isa.
Beliau berkata Isa, sebelum bayaran pertama berjumlah RM100,000, bertanya sama ada Zahid telah menghubungi ‘orang Sarawak’.
Apabila Zahid menjawab tidak, Isa memberitahunya supaya ‘kirim salam’. “Itu adalah kod untuk ‘ambil wang’,” kata Afzainizam, yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Arif Aizuddin Masrom.
Afzainizam berkata pendakwaan membuktikan kes prima facie berdasarkan anggapan bahawa wang itu bertujuan untuk rasuah, yang gagal dipatahkan oleh Isa dalam pembelaannya.
Beliau berkata Mahkamah Rayuan tidak mendapati bahawa Zahid bukan saksi yang boleh dipercayai, walaupun mahkamah itu menyatakan ada percanggahan dalam keterangannya.
Afzainizam berkata Mahkamah Rayuan, yang membebaskan Isa daripada pertuduhan, telah terkhilaf apabila mencampuri dapatan fakta yang dibuat oleh hakim perbicaraan.
Tiada kes prima facie, kata pembelaan
Peguam bela M Athimulan pula berhujah bahawa tiada keterangan lain untuk menyokong dakwaan Zahid bahawa wang itu diserahkan kepada Isa.
Beliau berkata Mahkamah Rayuan adalah betul apabila memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Isa, dan pembelaannya tidak sepatutnya dipanggil.
“Tiada bukti yang boleh dipercayai penglibatan Isa dalam keputusan lembaga FICSB untuk meluluskan pembelian hotel itu.
“Beliau juga tidak mengarahkan Zahid untuk menuntut suapan sebagai ganjaran atas bantuan mendapatkan kelulusan FICSB,” katanya.
Athimulan berkata Mahkamah Rayuan juga betul apabila memutuskan bahawa pendakwaan telah mengemukakan dua naratif berbeza dalam kes itu.
Katanya, pertuduhan dan kenyataan pembukaan pendakwaan mendakwa suapan itu merupakan ganjaran untuk Isa.
Bagaimanapun, sepanjang perbicaraan, naratif itu diubah sehingga wang tersebut dikatakan sebagai ‘dorongan’ supaya Isa tidak campur tangan dalam pembelian hotel itu, tambahnya.
Athimulan berkata panel itu betul apabila membebaskan Isa berikutan kewujudan dua naratif yang bercanggah.
Turut bersidang mendengar rayuan itu ialah Hakim Lee Swee Seng dan Ruzima Ghazali.
Pada 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Isa atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta.
Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan didenda RM15.4 juta.
Bagaimanapun, dua tahun lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan dan hukuman tersebut, sekali gus membawa kepada rayuan ini.
