Tangkapan pegawai tertinggi dedah kegagalan tadbir urus, kata pemantau rasuah

jabatan alam sekitar
Apabila pegawai atasan yang menerajui penguatkuasaan alam sekitar terlibat, ia menandakan bahawa mekanisme pengawasan dalaman telah gagal, kata Transparency International Malaysia.

PETALING JAYA: Penahanan dan pertuduhan terbaharu terhadap pegawai kanan kerajaan mendedahkan kepincangan mendalam terhadap sistem tadbir urus negara, sekali gus menyerlahkan jurang kawal selia di peringkat tertinggi, menurut dua badan pemantau rasuah.

Transparency International Malaysia (TI-M) berkata siasatan terhadap pegawai tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan angkatan tentera menunjukkan kelemahan sistemik merentasi keseluruhan perkhidmatan awam.

Raymon Ram.
Raymon Ram.

Presiden TI-M, Raymon Ram, berkata penahanan dua pegawai kanan JAS menggariskan bagaimana mekanisme pengawasan dalaman diketepikan di peringkat paling atas.

“Apabila pegawai tertinggi yang menerajui penguatkuasaan alam sekitar terlibat, ia menandakan bahawa mekanisme pengawasan dalaman, protokol eskalasi dan pengurusan akibat sama ada gagal atau sengaja dipintas secara sistematik.

“Kehadiran rasuah dalam sektor alam sekitar bukan satu pengecualian. Ia adalah gejala kepada masalah yang jauh lebih meluas dan merentasi pelbagai sektor,” katanya kepada FMT.

Ketua pengarah JAS dan timbalannya merupakan antara empat individu yang direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebahagian siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pengurusan sisa elektronik (e-waste).

Turut ditahan ialah enam pemilik syarikat yang disyaki terlibat dalam penyeludupan e-waste sejak lima tahun lalu.

Penahanan itu berlaku tidak lama selepas beberapa pegawai kanan tentera didakwa di mahkamah.

Bekas panglima angkatan tentera Nizam Jaffar, bekas panglima tentera darat Hafizuddeain Jantan, bekas ketua pengarah Perisikan Pertahanan Razali Alias, serta Fauzi Kamis, ketua staf di markas bersama angkatan tentera, semuanya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah.

Pushpan Murugiah
Pushpan Murugiah.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, menambah bahawa pengawasan yang lemah telah membolehkan e-waste domestik dibuang secara tidak bertanggungjawab, sekali gus mendedahkan kelemahan dalam sistem pemeriksaan Malaysia.

“E-waste import yang memasuki Malaysia sering disalahlabel di pelabuhan, lazimnya sebagai besi buruk, bagi mengelakkan pemeriksaan. Amalan yang sudah lama diketahui dan berulang ini menunjukkan sistem pemeriksaan sedia ada terlalu lemah untuk mencegah penyalahgunaan dan pengelakan,” katanya.

 Tangkapan semata-mata tidak menyelesaikan masalah

Kedua-dua kumpulan antirasuah memberi amaran bahawa tangkapan semata-mata tidak akan membetulkan kegagalan sistemik yang membolehkan salah guna kuasa berakar umbi di peringkat tertinggi kerajaan.

“Tanpa respons bersifat sistemik, setiap isu baharu — sama ada dalam alam sekitar, pertahanan atau perolehan — bukan pengecualian, sebaliknya pengesahan lanjut terhadap cabaran tadbir urus yang berterusan,” kata Raymon.

Pushpan menggesa penubuhan Pejabat Ombudsman bebas dengan kuasa siasatan yang kukuh untuk memantau agensi berkaitan, selain tindakan lebih tegas terhadap pesalah berulang, termasuk menyenaraihitamkan pengitar semula yang tidak mematuhi peraturan bagi membendung pembuangan e-waste.

Beliau turut menggesa kerajaan menerbitkan data import sisa bagi meningkatkan ketelusan, di samping mencadangkan pelaburan dalam teknologi pengimbasan pelabuhan yang lebih canggih serta penglibatan lebih besar masyarakat sivil dan komuniti tempatan dalam usaha penguatkuasaan.

Raymon berkata membanteras rasuah peringkat tinggi memerlukan lebih daripada siasatan reaktif. Beliau menyeru penguatkuasaan yang konsisten, perlindungan lebih kukuh dalam fungsi kawal selia berisiko tinggi, serta kebebasan operasi untuk badan pengawasan.

Beliau juga menyokong perlindungan pemberi maklumat yang berwibawa dan menggesa pengenaan penalti kewangan terhadap pesalah bagi memperkukuh kesan pencegahan.

Author: admin