
PETALING JAYA: Jabatan kesihatan Johor mengesahkan berlaku wabak tuberkulosis atau Tibi di Kota Tinggi, dengan 33 kes dikesan setakat ini.
Jabatan itu berkata wabak berkenaan disahkan Pejabat Kesihatan Kota Tinggi di satu lokaliti di daerah itu pada 25 Jan menerusi usaha pengesanan kes aktif melibatkan 804 kontak rapat.
“Semua pesakit telah menerima rawatan dan kini berada di bawah pemantauan rapi di fasiliti kesihatan berhampiran,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Jabatan itu menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dan sekitarnya, khususnya mereka mengalami simptom batuk berpanjangan atau sejarah dengan kontak dengan pesakit Tibi, segera jalani saringan di fasiliti kesihatan terdekat bagi membendung penularan penyakit ini.
Jabatan itu turut melaporkan satu kematian melibatkan pesakit yang dikaitkan dengan kluster tersebut, namun menjelaskan bahawa Tibi disahkan bukan punca kematian.
Tibi ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara, khususnya menerusi hubungan rapat yang berpanjangan.
Antara simptom lazim ialah batuk berterusan, penurunan berat badan, hilang selera makan, peluh malam dan batuk berdarah.
Tibi boleh dicegah dan dirawat dengan rawatan berkesan, yang lazimnya memerlukan tempoh rawatan minimum selama enam bulan.
