Perluas kajian pilihan raya tempatan ke semua bandar utama, kata ahli majlis DAP

kl skyline
Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Farhan Haziq Mohamed berkata DBKL mempunyai bajet kira-kira RM2.8 bilion tahun lalu, melebihi bajet 2026 negeri-negeri seperti Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan. (Gambar Envato Elements)

PETALING JAYA: Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Farhan Haziq Mohamed menggesa kerajaan memperluaskan kajian mengenai pilihan raya datuk bandar untuk Kuala Lumpur ke bandar-bandar utama lain.

Farhan yang juga bekas ahli majlis bandaraya Petaling Jaya, berkata sistem pelantikan sedia ada menyebabkan kurangnya akauntabiliti dan penduduk kurang mengenali siapa datuk bandar mereka.

Katanya, ini berpunca kerana sistem perlantikan datuk bandar dan yang di pertua dibuat secara lantikan oleh kerajaan negeri dan persekutuan, dan kadangkala digantikan tanpa pengetahuan penduduk.

“Lebih utama adalah peranan datuk bandar dan yang di pertua bukan sekadar menjadi ketua jabatan tetapi mengetuai pentadbiran kerajaan tempatan yang mempunyai peruntukan yang besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Farhan berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai bajet kira-kira RM2.8 bilion tahun lalu, melebihi bajet 2026 negeri-negeri seperti Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Dengan tanggungjawab sedemikian, rakyat berhak memilih pemimpin mereka dan memastikan akauntabiliti.”

Beliau juga mencadangkan kajian ini dimulakan di bandar-bandar utama dahulu, manakala bandar lain boleh melalui proses sedia ada.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing berkata pilihan raya datuk bandar di bandar-bandar seperti New York dan London menunjukkan bahawa pengundi tidak mengundi semata-mata berdasarkan warna kulit atau kepercayaan agama, tetapi kualiti kepimpinan yang ditunjukkan oleh calon.

“Dalam konteks Kuala Lumpur, wujud naratif yang memainkan sentimen perkauman dan keagamaan, dengan dakwaan bahawa ibu negara akan dikuasai DAP sekiranya pilihan raya datuk bandar diadakan,” katanya.

Ahli Parlimen PKR itu berkata kebimbangan bahawa pilihan raya datuk bandar akan mengalihkan kuasa mengikut garis perkauman atau keagamaan adalah tidak berasas.

Katanya, bahawa pengundi dalam pilihan raya itu cenderung menilai calon berdasarkan cadangan dasar perancangan bandar dan prestasi tadbir urus, bukannya identiti.

“Pengundi tidak semestinya membuat keputusan berdasarkan kaum dan agama, sebaliknya menilai dasar perancangan bandar yang dikemukakan serta keberkesanan pelaksanaannya.”

Author: admin