
PETALING JAYA: Seorang wanita yang juga saksi ke-62 memberitahu bahawa anaknya yang dinamakan ‘Pelajar A’ tidak pernah mengesyaki Zara Qairina Mahathir terlibat dalam kehilangan wang pelajar lain, termasuk wang RM300 miliknya yang hilang.
Wanita berusia 42 tahun itu berkata ketika anaknya pulang ke rumah dia menceritakan kejadian pemeriksaan mengejut yang dilakukan pada 14 Julai 2025 berhubung kehilangan dompet seorang pelajar di kelas Zara.
“Itu duit pelajar lain yang hilangkan, dia (anak) tidak syak sesiapa,” katanya menjawab soalan peguam, Shahlan Jufri di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, lapor Sinar Harian.
Dia juga menafikan ‘Pelajar A’ mengesyaki Zara mencuri wang itu dan berkata anaknya bukan jenis yang suka menuduh.
“Pendapat saya ini adalah satu fitnah, saya kenal anak saya. Dia (anak) pernah bercerita pada saya, tidak pernah syak dan tidak pernah menuduh Zara yang mencuri sebab dia rapat dengan Zara dan ketika itu mereka berkawan baik.
“Tetapi Zara dikelilingi oleh musuh yang suka menikam di belakang. Yang musuh itu adalah kesimpulan daripada cerita anak saya,” katanya.
Wanita itu juga kekal dengan kenyataannya seperti dalam kenyataan saksi bahawa ibu Zara, Noraidah Lamat pernah memarahinya melalui aplikasi WhatsApp.
“Dia ada memarahi saya, dia terus WhatsApp. Tapi saya tak balas, di bahagian belakang (eksibit perbualan WhatsApp) pada tarikh yang sama,” katanya semasa peguam meminta pengesahan mengenai perbualan WhatsApp itu.
Saksi juga mengesahkan pesanan WhatsApp yang diterimanya adalah berbentuk ‘forward’ dan bukan ditulis sendiri oleh ibu Zara.
“Betul, tapi apa tujuan dia berikan kepada saya. Saya rasa dia lebih mempercayai pihak sana yang berniat sama. Itu pemahaman saya dan ini berbahaya untuk anak saya,” katanya.
Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos lalu mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi proses bedah siasat.
