Mahkamah arah kes dadah dibicara semula kerana ‘peguam palsu’

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berkata isu yang dibawa bukan mengenai kompetensi, tetapi lebih kepada isu kesahihan di sisi undang-undang individu yang mewakilinya.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 30 tahun yang dikenakan ke atas dua sahabat kerana mengedar dadah serta memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula.

Panel tiga hakim terdiri daripada Azmi Ariffin, Noorin Badaruddin dan Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan bahawa prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi adalah batal selepas seorang daripada tertuduh diwakili individu yang tidak mempunyai kelayakan sah.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Azmi berkata individu yang mewakili Mohd Najmi Abd Rahim tidak mempunyai kelayakan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976, namun tetap memainkan peranan aktif sebagai peguam bela sepanjang perbicaraan.

Beliau berkata integriti perbicaraan telah terjejas kerana seorang daripada tertuduh diwakili peguam palsu, sekali gus menjadikan prosiding berkenaan terbatal.

“Isu yang dibawa ke mahkamah ini bukan mengenai kompetensi, tetapi lebih kepada isu kesahihan di sisi undang-undang individu yang mewakilinya,” katanya.

Berikutan itu, Azmi berkata sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas perayu Muhammad Zarif Mohd Noor Ajala dan Najmi telah diketepikan dan kes berkenaan dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi Seremban untuk dibicarakan semula.

Beliau menetapkan 24 Feb untuk sebutan di Mahkamah Tinggi Seremban dan mengeluarkan waran untuk menahan kedua-dua perayu sementara menunggu perbicaraan semula.

Pada 18 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi mensabitkan Zarif, 48, dan Najmi, 38, atas kesalahan mengedar 768.9g methamphetamine serta menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan setiap seorang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Persiaran Pusat Bandar Nilai, Negeri Sembilan kira-kira 3.45 petang, 18 Sept 2018.

Najmi juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan kerana memiliki 13.11g dadah yang sama di tempat, tarikh dan masa yang sama. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Semasa prosiding hari ini, peguam Najmi, R. Palaya, memohon mahkamah menerima bukti baharu mengenai individu yang mewakili anak guamnya.

Palaya berkata beliau hanya menyedari bahawa individu tersebut tidak mempunyai kelayakan undang-undang selepas individu itu ditahan, sambil menambah bahawa individu tersebut kemudiannya didakwa dan dikenakan denda tahun lepas atas tiga kesalahan termasuk satu di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berhujah bahawa Najmi turut diwakili peguam lain yang berkelayakan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Peguam Goh Cia Yee yang mewakili Zarif turut menyokong hujah Palaya supaya kes berkenaan dibicarakan semula.

Author: admin