
PETALING JAYA: Cadangan tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd ke atas keseluruhan 3.51 bilion saham dalam IJM Corp Bhd akan ditutup pada 6 April ini.
Menurut Sunway dalam makluman kepada bursa saham, pemegang saham IJM yang berminat mempunyai tempoh untuk mempertimbangkan tawaran itu bermula hari ini hingga 5 petang, 6 April.
Syarikat itu juga telah menamakan anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Fortuna Gembira Enterprise, sebagai penerima saham tawaran bagi cadangan pengambilalihan tersebut.
“Tawaran ini bersyarat kepada penerimaan sah oleh Sunway pada atau sebelum tarikh tutup, membolehkan Sunway memegang secara agregat lebih daripada 50% saham undian dalam IJM,” katanya, lapor Bernama.
Pada 12 Jan lepas, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk membeli keseluruhan 3.51 bilion saham IJM Corp pada harga tawaran RM3.15 sesaham.
“Dengan mengandaikan cadangan tawaran itu diterima sepenuhnya dan tiada pelarasan dibuat terhadap harga tawaran, jumlah pertimbangan bagi tawaran itu adalah kira-kira RM11.0 bilion, yang akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu dalam Sunway,” menurut Sunway sebelum ini.
Tambahnya, cadangan tawaran itu dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2026.
Pada rehat tengah hari, kaunter Sunway dan IJM, masing-masing meningkat satu sen dan dua sen kepada RM5.77 dan RM2.70, dengan 6.68 juta dan 9.85 juta saham diniagakan.
