
PETALING JAYA: Timbalan ketua menteri I Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid, sedia dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan pegawai kanan kerajaan negeri, berkaitan urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Mohamad, yang juga yang dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), berkata beliau belum lagi dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya bersedia untuk dipanggil untuk memberikan kerjasama kepada SPRM kerana ia telus dan semuanya mengikut sudut proses,” katanya lapor Bernama, selepas suatu majlis di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Mohamad memaklumkan bahawa MAINPP dan Zakat MAINPP telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
“Mana-mana urusan yang berkaitan dengan kes itu, kita serahkan dokumennya. Setakat ini, beberapa pegawai telah dipanggil ke SPRM untuk bantu siasatan,” katanya.
Sabtu lepas, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri beri ruang sepenuhnya kepada SPRM, menegaskan kerajaan negeri tidak akan campur tangan atau menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu.
SPRM dilaporkan hadir ke beberapa pejabat yang disyaki terbabit bagi mendapatkan dokumen berkaitan.
