
PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan mengarahkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) seorang pemandu e-panggilan yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita di Johor Bahru dibatalkan.
Menterinya Loke Siew Fook berkata kementeriannya memandang serius insiden itu dan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan lesen PSV pemandu berkenaan dengan serta-merta.
“Tindakan pembatalan PSV bermaksud pemandu tersebut tidak boleh berkhidmat sebagai pemandu di semua platform e-panggilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Loke berkata kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) akan memanggil semua pengendali e-panggilan termasuk Grab untuk membentangkan pelan tindakan penambahbaikan untuk keselamatan penumpang.
“Kementerian tidak akan bertoleransi dengan sebarang tingkah laku yang mengganggu gugat keselamatan penumpang dan bersedia untuk menyokong mangsa dalam memastikan tindakan polis diambil terhadap pelaku,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata pihaknya sedang mengenal pasti seorang pemandu e-panggilan yang dilihat dalam video tular didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita.
Dalam video yang dilaporkan dirakam oleh penumpang tersebut, pemandu itu dilihat menghulurkan tangan ke belakang untuk menyentuh wanita itu, namun ditepis.
Dia juga didengar bertanya umur wanita itu dan berapa ‘harganya’, dalam bahasa Mandarin.
Grab kemudiannya memohon maaf berhubung insiden itu dan berkata pihaknya sedang menghubungi penumpang terlibat untuk menyiasat perkara berkenaan.
