Gambar, video Zara bersama ‘Pelajar A’ ditunjuk di Mahkamah Koroner

zara qairina
Saksi yang juga ibu ‘Pelajar A’ mendakwa Zara Qairina Mahathir pernah membuli anaknya pada peringkat awal persekolahan. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Inkues kematian Zara Qairina Mahathir hari ini meneliti keterangan berkaitan dua rakaman video dan dua gambar dikemukakan di Mahkamah Koroner di sini, yang memperlihatkan hubungan arwah dengan ‘Pelajar A’.

Bahan visual itu dikemukakan peguam Shahlan Jufri semasa sesi menyoal ibu Pelajar A, seorang daripada lima pelajar didakwa menghina Allahyarham, yang kemudiannya diminta mengenal pasti individu dalam dua video serta gambar berkenaan.

Saksi 42 tahun itu mengesahkan Pelajar A dan Zara berada dalam dua video dan gambar berkenaan.

Menurut saksi, beliau tidak pernah melihat bahan visual itu sebelum ia ditunjukkan di mahkamah dan hanya dimaklumkan anaknya bahawa Pelajar A pernah merakam video TikTok bersama arwah, tanpa mengetahui jumlah atau kandungan rakaman tersebut.

Berdasarkan pemerhatian terhadap rakaman dimainkan di mahkamah, saksi bersetuju pelajar terbabit, termasuk Pelajar A dan Zara, kelihatan ceria.

“Pelajar A pernah beritahu saya, dia buat video TikTok bersama arwah Zara Qairina. Itu sahaja. Berapa kali atau berapa banyak rakaman, saya tidak tahu. Dalam video, semua pelajar kelihatan gembira dan ceria.”

Saksi ke-62 itu berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Zara di depan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi turut bersetuju rakaman video sedemikian lazimnya memerlukan perbincangan atau persetujuan antara pelajar sebelum dirakam, jadi sukar untuk menghasilkan rakaman tersusun tanpa kerjasama semua pihak.

Bagaimanapun, saksi itu menegaskan bahan visual berkenaan tidak menggambarkan sepenuhnya keadaan dialami anaknya sebelum itu dan menjelaskan aduan terdahulu dibuat berdasarkan perbualan telefon serta maklumat diterima ketika kejadian.

Dalam keterangan sama, saksi mendakwa Zara membuli anaknya pada peringkat awal persekolahan, termasuk melalui herdikan, tuduhan berkaitan kebersihan asrama serta dipulau rakan lain.

Pada prosiding semalam, ibu Pelajar A itu memaklumkan beliau menerima gangguan melalui aplikasi WhatsApp daripada ibu arwah berhubung kenyataan polis.

Saksi mendakwa ibu Zara, Noraidah Lamat, mengarahkannya untuk menafikan kenyataan Pelajar A kepada polis serta menghubungi pegawai penyiasat secara terus.

Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos lalu mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi proses bedah siasat.

Inkues bersambung 2 petang ini dengan keterangan saksi ke-63.

Author: admin