
PUTRAJAYA: Kajian kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur dimulakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak Disember lalu ketika Dr Zaliha Mustafa menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata terlalu awal untuk mengulas lanjut berhubung kajian itu yang masih di peringkat awal.
“Jadi, kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP. Ini adalah Universiti Islam Antarabangsa yang saya yakin kajian mereka berkualiti dan saya tak ada hasil kajian,” katanya selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara Seri Wilayah.
“Selepas kita dengar kajian, boleh buat, tak boleh buat, baru kita akan sediakan kertas Kabinet untuk maklumkan kepada Kabinet sama ada Jabatan Wilayah Persekutuan nak pinda akta atau tidak pinda akta.”
Semalam, Yeoh menegaskan kajian perlu dilakukan secara menyeluruh terhadap cadangan mengadakan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur susulan bantahan beberapa pihak.
Beliau turut mempersoalkan kebimbangan segelintir pihak terhadap proses kajian yang menurutnya penting bagi memastikan sesuatu dasar digubal berdasarkan fakta dan data tepat.
Pada 2023, DAP Wilayah Persekutuan pernah menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur, tetapi dibantah beberapa pihak termasuk pimpinan Umno dan PAS.
