
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi menyuarakan kebimbangan partinya berdepan risiko ‘tutup kedai’ dalam tempoh 20 tahun akan datang, sekiranya corak sokongan rakyat kekal seperti berlaku pada PRU lalu.
Beliau berkata, ahli Umno khususnya barisan pelapis mencipta sesuatu yang luar biasa untuk menangkis persepsi dan prasangka negatif terhadap parti.
“Kalau rakyat membuat keputusan khususnya pengundi buat keputusan sama dengan keputusan PRU lalu…saya khuatir 20 tahun akan datang, kita akan perlahan-lahan menutup kedai politik (Umno) kita, biarpun produk kita jual di kedai politik itu baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Pertama Sekolah Patriotik Umno (SPU).
Mengulas lanjut, Zahid berkata, disebabkan persepsi dan prasangka negatif, pengundi baharu yang pada mulanya berhasrat mengenali Umno akan menjauhkan diri.
“Umno akan bangkit semula dengan syarat persepsi negatif terhadap parti ini ditukar, maka kita mesti mampu mewujudkan keluarbiasaan, bukan hanya slogan atau retorik tetapi ia wajib dilakukan,” katanya.
Dalam ucapannya, Zahid turut membayangkan PRU16 mungkin diadakan seawal 12 bulan dari sekarang.
“Saya ingin menghidangkan bahawa keluarbiasaan wajib dilakukan sekarang, kita mempunyai tempoh 12 bulan, 18 bulan, dan mustahil apabila sampai ke dinding 22 bulan. Ertinya kita akan menghadapi PRU16.
“Pengundi baharu setiap tahun adalah seramai 500,000 orang, daripada PRU lalu dan menjelang PRU16 terdapat 2.5 juta pengundi kali pertama,” katanya.
Zahid berkata, beliau berharap 158 produk Patriot SPU dapat menjadi pemikir baharu untuk menganalisis, merumus serta memberi pandangan kepada kepimpinan Umno.
Katanya, ia termasuk aspek wajib dilakukan Umno dan Barisan Nasional (BN), khususnya dalam tempoh 20 tahun akan datang menuju usia 100 tahun, termasuk menilai semula jenama BN agar kekal relevan dalam kalangan pengundi.
Zahid turut berharap produk Patriot SPU mampu melahirkan pelapis kepimpinan dan mencorakkan landskap politik negara pada masa hadapan.
