
PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan penurunan ketara jualan petrol di sembilan stesen minyak di Kelantan dekat sempadan apabila pegawai penguat kuasa ditempatkan secara statik.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Azman Adam, berkata stesen minyak tersebut sebelum ini merekodkan jualan jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain.
Katanya, situasi berkenaan petunjuk awal wujudnya aktiviti tidak normal dalam rantaian bekalan bahan api bersubsidi.
“Hasil penempatan pegawai statik KPDN di stesen-stesen berkenaan mendapati jualan petrol dan diesel menurun sebaik pemantauan dijalankan berbanding sebelum ini,” katanya menurut Bernama selepas melakukan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang, Pasir Mas.
Pemantauan itu dilaksanakan di empat daerah bersempadan dengan Thailand, iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, dan Jeli.
Azman berkata, perubahan ketara pada jumlah jualan selepas pegawai ditempatkan memberi isyarat awal yang perlu diteliti dengan lebih mendalam.
Ketika ini, KPDN sedang menilai sama ada jualan berkenaan benar-benar mencerminkan keperluan penduduk setempat atau dipengaruhi faktor lain.
Beliau berkata, siasatan lanjut turut melibatkan penelitian terhadap profil penduduk, aktiviti ekonomi setempat serta corak pergerakan kenderaan di kawasan sempadan bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil berasaskan data dan penilaian menyeluruh.
Setakat ini, KPDN belum mempertimbangkan sebarang langkah mengehadkan bekalan petrol dan diesel di stesen minyak terlibat, sebaliknya memberikan tumpuan kepada pemantauan berterusan dan pengumpulan maklumat.
“Pendekatan berperingkat akan diambil bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara berhemah tanpa menjejaskan keperluan sah pengguna tempatan,” katanya.
