Gerakan, MIPP tolak PAS pengerusi PN, kata bekas pembantu Muhyiddin

marzuki
Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad berkata Gerakan dan MIPP melihat kepimpinan Muhyiddin dalam gabungan itu sebagai satu cara untuk mengimbangi imej Islam PAS yang lebih ‘keras’. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin mendedahkan Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menentang cadangan seorang pemimpin PAS mengambil alih jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) selepas beliau meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Jan.

Marzuki Mohamad berkata beliau menghadiri satu pertemuan pada 16 Jan di kediaman Presiden Bersatu, Muhyiddin, yang turut dihadiri pemimpin kanan PAS bagi membincangkan usaha menamatkan ‘kebuntuan’ berhubung kekosongan jawatan tersebut.

“PAS mahukan jawatan pengerusi PN, tetapi perkara itu ditentang oleh dua lagi parti komponen, iaitu Gerakan dan MIPP,” katanya dalam hantaran di Facebook.

“Sebagai jalan keluar, pertemuan pada malam itu telah memutuskan untuk memperkasakan peranan Majlis Presiden PN yang diketuai oleh Muhyiddin dan menubuhkan Majlis Eksekutif PN yang diketuai oleh calon yang akan dinamakan oleh PAS.

“Cadangan ini telah dipersetujui oleh Gerakan dan MIPP. Mereka melihat kedudukan Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Presiden boleh mengimbangi imej Islam PAS yang lebih bersifat ‘hardline’.”

Muhyiddin tidak berbohong mengenai pemansuhan jawatan pengerusi PN

Marzuki turut mempertahankan Muhyiddin daripada dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu berbohong mengenai pemansuhan jawatan pengerusi PN, isu yang telah mencetuskan gesaan dalam Bersatu supaya tindakan disiplin diambil.

Dalam sepucuk surat bocor, Muhyiddin menyatakan bahawa Bersatu dan PAS telah bersetuju untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula gabungan itu, seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat pada 16 Jan.

Beliau menambah bahawa Majlis Presiden, yang diterajui Bersatu, akan menjadi badan pembuat keputusan tertinggi PN, manakala Majlis Eksekutif yang dipimpin PAS akan menguruskan hal pentadbiran.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan Muhyiddin dengan mengatakan isu pemansuhan jawatan itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam sepucuk surat berasingan berkata Majlis Presiden hanya bersifat penasihat, dengan Majlis Tertinggi kekal sebagai badan eksekutif pembuat keputusan gabungan itu.

Marzuki menjelaskan bahawa di bawah cadangan pindaan perlembagaan, jawatan pengerusi PN akan menjadi ‘tidak relevan’, sekali gus menghapuskan gelaran tersebut secara berkesan.

“Yang penting bukan gelaran pengerusi PN. Tetapi bagaimanakah kuasa pengerusi PN yang sedia ada dalam perlembagaan hendak diagihkan kepada pengerusi Majlis Presiden dan pengerusi Majlis Eksekutif.

“Bincangkanlah perkara ini semasak-masaknya dalam Jawatankuasa Teknikal mengikut proses yang telah dipersetujui dalam pertemuan pada malam 16 Januari.

“Ini tidak. Jawatankuasa Teknikal tidak dipanggil bermesyuarat tetapi tiba-tiba keluar notis Mesyuarat Luar Biasa PN yang agendanya bertentangan dengan persetujuan yang telah dicapai oleh presiden Bersatu dan PAS dan dipersetujui oleh presiden Gerakan dan MIPP.

“Lebih jahat, proses perbincangan belum tamat tetapi telah menghukum Muhyiddin berbohong hanya kerana sekeping surat yang diutus oleh Hadi. Nampaknya ada orang yang sengaja ‘throw spanner’ kepada persetujuan yang telah dicapai oleh Muhyiddin dan Hadi untuk kebaikan PN,” katanya.

Author: admin