Lebih banyak gesaan untuk Muhyiddin hadap lembaga disiplin

muhyiddin
Muhyiddin Yassin dilaporkan mendakwa Bersatu dan PAS bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN, dakwaan yang dinafikan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Semakin banyak gesaan dalam Bersatu supaya Presidennya, Muhyiddin Yassin dihadapkan ke lembaga disiplin.

Bercakap kepada FMT, beberapa ketua bahagian, termasuk seorang pemimpin baru dipecat menekankan peraturan parti mesti terpakai kepada semua ahli secara sama rata, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

“Bukankah dia ahli parti? Walaupun dia presiden, dia masih ahli dan peraturan itu terpakai kepada semua,” kata Ketua Bahagian Gopeng, Ahmad Ishak.

Ketua Bahagian Dungun, Abdul Aziz Ismail yang turut senada berkata, Muhyiddin perlu melalui proses disiplin sama yang dikenakan ke atas ahli lain didakwa melanggar peraturan parti.

“Tidak adil kepada ahli lain jika Muhyiddin dikecualikan daripada dihadapkan ke lembaga disiplin. Jika ahli biasa perlu dipanggil, dia juga mesti dipanggil.”

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz dilaporkan berkata, Muhyiddin tidak sepatutnya berdepan tindakan disiplin atas dakwaan Bersatu dan PAS bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Beliau menyifatkan aduan terhadap Muhyiddin, yang melepaskan jawatan pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu, sebagai tidak berasas dan mengelirukan, serta mengaitkannya dengan salah faham terhadap perlembagaan parti dan proses tadbir urus dalam gabungan itu.

Dalam catatan Facebook, katanya, aduan itu yang dibuat berdasarkan dokumen dalaman bocor, diambil di luar konteks dan tidak boleh dianggap tuduhan berbohong atau salah laku.

Sementara itu, seorang bekas ketua bahagian mengkritik amalan dwistandard jelas dengan menuduh Tun Faisal terus mencemarkan imej parti.

Mohd Faizal Asmar mempersoalkan alasan Muhyiddin perlu dikecualikan daripada siasatan dan membandingkan pemecatan dirinya, yang menurutnya dibuat tanpa diberikan peluang membela diri.

“Apabila saya dipecat bersama enam individu lain, kami tidak dipanggil oleh lembaga disiplin. Kami terus dipecat,” kata bekas ketua Bersatu Pengerang itu.

“Tetapi, sekarang Tun Faisal kata presiden tidak perlu disiasat. Mengapa? Beliau perlu dipanggil dan melalui proses itu. Tun Faisal yang menjadikan parti ini bahan ejekan.”

Dalam surat bocor itu, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian penstrukturan semula gabungan itu ketika pertemuan dengan pemimpin PAS pada 16 Jan lalu.

Katanya, kedua-dua parti bersetuju dengan penstrukturan semula PN, di mana Bersatu akan mengetuai majlis presiden dan jawatankuasa eksekutif diterajui PAS.

Tetapi, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Ahli kanan Bersatu, Hariz Faisal Ismail memfailkan aduan disiplin terhadap Muhyiddin atas dakwaan surat dihantar kepada presiden parti komponen PN itu dikeluarkan tanpa kelulusan sewajarnya dan menyalahgunakan nama parti, sekali gus merosakkan kredibilitinya.

Author: admin