Kesan gas metana, bomba syor tutup tapak pesta Kaul Oya di Mukah

gas Kaul Oya Mukah
Anggota bomba membuat ujian bacaan tahap gas di satu lubang yang digerudi di tapak pesta kebudayaan Kaul Oya di Mukah. (Gambar JBPM)

PETALING JAYA: Bomba Sarawak mengesyorkan tapak pesta kebudayaan Kaul Oya di Mukah ditutup selepas mengesan kehadiran gas mudah terbakar jenis metana di lokasi tersebut.

Jabatan Bomba Sarawak berkata sebanyak tiga bacaan tahap gas diambil di tapak itu dengan menunjukkan bacaan had letupan bawah (LEL) antara 90% hingga 100% yang merupakan tahap risiko tinggi, lapor Bernama.

Katanya, bacaan itu dicatat pada kawasan tanah yang digerudi dan ditebuk di tapak pesta tersebut.

“Bacaan LEL berada pada paras normal apabila lubang gerudi ditutup, namun bacaan meningkat apabila lubang gerudi tersebut dibuka,” kata Bomba dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Pasukan Hazmat mengesyorkan kawasan berkenaan ditutup dan mana-mana lokasi yang mempunyai lubang gerudi atau tebukan hendaklah ditutup atau ditimbus sepenuhnya.

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan juga perlu memastikan tiada sebarang aktiviti dijalankan di kawasan berkenaan selagi lubang gerudi belum ditimbus sepenuhnya bagi mengelakkan risiko keselamatan.

Pesta Kaul Oya ialah festival kebudayaan masyarakat Melanau yang disambut secara tahunan di Oya, Mukah.

Ia merupakan simbol perpaduan dan platform untuk melestarikan tradisi warisan kepada generasi muda.

Author: admin