
PETALING JAYA: Premier Sarawak Abang Johari Openg menolak spekulasi mengenai bila pilihan raya negeri itu akan diadakan, dengan berkata ia ‘masih lama lagi’.
Beliau juga berhati-hati ketika ditanya sama ada pilihan raya itu diadakan tahun ini, lapor Borneo Post.
“Siapa tahu? Kamu boleh buat kiraan sendiri,” katanya ketika merasmikan Yayasan Sarawak International Secondary School di Kuching hari ini.
Beliau, yang juga pengerusi gabungan pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS), ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi pada Khamis bahawa PRN Sarawak akan diadakan tahun ini, memandangkan ia kali terakhir diadakan lima tahun lalu.
Nanta dalam satu temu bual berkata PRN itu ‘pasti’ akan berlangsung tahun ini, namun tarikh tepat pembubaran DUN bergantung kepada premier Sarawak.
Tempoh pentadbiran kerajaan Sarawak akan berakhir pada 14 Feb tahun depan, dan PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu kecuali dewan dibubarkan lebih awal.
