
KULIM: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tidak akan mengarahkan polis untuk mengklasifikasikan kes melibatkan anak lelaki Rafizi Ramli sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA).
Saifuddin berkata, sebarang keputusan adalah bergantung pada hasil dan petunjuk yang ditemui polis dalam siasatan.
Katanya, menjadi tugas polis menjalankan siasatan apabila laporan dibuat dan kemajuan siasatan bergantung pada petunjuk-petunjuk baharu yang dijumpai.
Tambahnya, beliau tidak akan beri sebarang arahan terhadap status siasatan polis kerana ia boleh dianggap sebagai mengganggu proses siasatan jika polis temui punca atau petunjuk baharu.
“Jadi, sama ada pengkelasan kes itu akan dimasukkan sebagai NFA atau sebaliknya pada peringkat ini, saya serahkan sepenuhnya kepada profesionalisme pasukan polis,” katanya kepada wartawan.
Anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Ogos lalu, dengan rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki mengekori kereta isterinya menggunakan sebuah motosikal.
Anak Rafizi diseret dan ditikam dengan jarum suntikan, sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Penyerang berkenaan melarikan diri.
Rafizi baru-baru ini berkata polis tidak perlu buang masa menyiasat kes anaknya sekiranya tiada petunjuk baharu.
Beliau berkata akan menulis surat kepada perdana menteri, menteri dalam negeri dan polis untuk memohon supaya kes itu diklasifikasikan sebagai NFA.
Pada Rabu, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau tidak dapat mendedahkan butiran siasatan kepada umum, namun mengesahkan maklumat berkenaan telah dikongsi dengan Rafizi dalam satu pertemuan bulan lalu.
