
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya mengesan serta menumpaskan aktiviti pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake BTS) untuk menyebarkan SMS berunsur penipuan kepada pengguna di Genting Highlands, baru-baru ini.
SKMM dalam kenyataan berkata aktiviti itu berjaya ditumpaskan dalam satu operasi bersepadu pada 19 Jan lalu dengan mengesan dua kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pemancaran Fake BTS.
Katanya, kejayaan operasi itu adalah hasil pemantauan teknikal dan analisis rangkaian berterusan oleh SKMM yang mengenal pasti gangguan perkhidmatan komunikasi serta penyebaran SMS berunsur penipuan kepada pengguna.
“Berdasarkan risikan teknikal tersebut, satu operasi lapangan dirancang dan dilaksanakan secara bersepadu bersama sebuah syarikat telekomunikasi.
“Pemeriksaan di lokasi mengesahkan berlakunya pemintasan rangkaian telekomunikasi yang dipercayai digunakan untuk menghantar SMS berunsur penipuan kepada mangsa, sekali gus membuktikan aktiviti tersebut dijalankan secara terancang,” kata kenyataan itu.
Katanya, peralatan Fake BTS dan peranti kawalan telah dirampas bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Menurutnya, bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 akta itu, seseorang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, pelaku boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
“SKMM tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan integriti sistem telekomunikasi negara.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat dan terpelihara,” kata kenyataan itu.
