Urus tanah perkuburan Islam ikut piawaian seragam, efisien, titah Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meninjau Tanah Perkuburan Islam Masjid Lama Arau di Perlis baru-baru ini.

PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sistem pengurusan tanah perkuburan Islam di seluruh negeri itu perlu diperkemaskan segera melalui piawaian seragam dan efisien demi menjamin kelangsungan tanah wakaf buat jangka panjang.

Titah baginda, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bersidang 4 Dis lalu memperakukan Garis Panduan Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Perlis sebagai dasar rasmi baharu.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan meninjau Makam Diraja Lama Arau bersama MAIPs, Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs menegaskan, dokumen garis panduan itu perlu dijadikan rujukan utama setiap jawatankuasa kariah masjid dan pengurusan tanah perkuburan bagi memastikan tiada lagi isu pembaziran ruang atau kesesakan tidak terkawal di kawasan pusara.

Titah baginda, penguatkuasaan garis panduan itu langkah proaktif MAIPs dalam menangani cabaran kepadatan tanah wakaf dengan mengambil iktibar daripada model pengurusan jenazah terbaik di peringkat antarabangsa.

Mengulas model luar negara, Tuanku Syed Faizuddin menyarankan pengurusan kubur di Perlis mencontohi kesederhanaan diamalkan di Arab Saudi, khasnya di Perkuburan Al-Baqi’, Madinah.

“Di sana, amalan menanda kubur dilakukan secara ringkas tanpa sebarang binaan kekal yang megah, selari dengan tuntutan syarak serta membolehkan sistem pengurusan tanah lebih cekap dilaksanakan.”

Baginda turut tertarik dengan sistem diguna pakai Singapura yang berdepan kekangan tanah sangat kritikal, tetapi berjaya mewujudkan kawasan perkuburan seperti Pusara Aman berkonsepkan ‘perkuburan dalam taman’.

“Menerusi sistem ini, penggunaan nisan seragam di atas permukaan rumput rata bukan saja menjimatkan ruang, malah memudahkan jentera penyelenggaraan masuk untuk memastikan kawasan sentiasa bersih dan tidak semak.”

Tuanku turut menyentuh pengalaman di Mesir yang wajar dijadikan teladan dalam aspek menguruskan tanah perkuburan di kawasan berkepadatan penduduk tinggi tanpa mengabaikan nilai sejarah dan penghormatan kepada jenazah.

Tuanku Syed Faizuddin menyeru semua pihak, khasnya jawatankuasa masjid mula mengubah landskap tanah perkuburan di kariah masing-masing agar lebih tersusun mengikut ‘grid’ ditetapkan dalam garis panduan baharu itu.

Baginda juga mahu melihat tanah perkuburan di Perlis berubah wajah menjadi kawasan tenang, menginsafkan dan sedap mata memandang seperti di beberapa tanah perkuburan sedia ada.

“Bukannya kawasan dipenuhi semak samun atau binaan tidak sekata, apatah lagi berlawanan keputusan fatwa berhubung larangan binaan tambahan di tanah perkuburan, kecuali bagi binaan terdahulu yang diwartakan sebagai warisan sejarah.”

Author: admin