
PETALING JAYA: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin digesa memberi penjelasan kepada ahli parti susulan pertikaian dengan PAS berhubung jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang kekal kosong sejak 1 Jan lalu selepas pengundurannya.
Ketegangan antara kedua-dua parti memuncak selepas Muhyiddin mendakwa PAS dan Bersatu bersetuju memansuhkan jawatan itu dalam satu mesyuarat lebih seminggu lalu. Namun, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan perkara itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat pada 16 Jan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak berkata, ahli parti keliru dengan dakwaan yang bercanggah itu.
“Perkembangan ini menimbulkan persoalan serius mengenai keikhlasan Muhyiddin dalam mengadakan perbincangan dengan rakan komponen, khususnya PAS,” katanya.
“Kenyataan ini (berhubung persetujuan untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN) jelas bercanggah dengan fakta perbincangan dan mengelirukan ahli serta penyokong PN.”
Ahmad berkata, perkara tersebut perlu diperjelaskan secara terbuka bagi mengelakkan kepercayaan dan perpaduan dalam gabungan itu terhakis.
PAS sebelum ini menuntut jawatan itu selepas Muhyiddin berundur pada 1 Jan, namun presidennya, Abdul Hadi Awang menolak untuk mengambil alih jawatan berkenaan atas faktor kesihatan.
Muhyiddin pula berpendapat penggantinya perlu terdiri daripada seorang presiden parti, namun pendirian itu tidak dipersetujui PAS.
