
PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan ia tidak pernah mengeluarkan sijil halal untuk produk La Pasta Carbonara Flavour Pasta and Sauce keluaran San Remo Macaroni Co Pty Ltd.
Ketua Pengarahnya, Sirajuddin Suhaimee, berkata semakan di laman sesawang rasmi San Remo Malaysia turut mendapati produk itu tidak dijual di negara ini.
Katanya, produk itu tidak memaparkan logo halal daripada mana-mana Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf Jakim pada label pembungkusannya.
Beliau berkata demikian susulan pengumuman Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei berhubung penemuan DNA khinzir dalam produk itu.
“Jakim akan meneruskan pemantauan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Brunei bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Ia menasihatkan orang ramai memilih produk yang mendapat sijil halal Jakim atau badan pensijilan halal luar negara diiktiraf, selain menyemak label serta kandungan produk sebelum membuat pembelian.
