
PETALING JAYA: Bekas pengerusi pasukan petugas Eddin Khoo mempertahankan kenyataannya mengenai bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching dengan menegaskan ia bukan satu ‘amukan’ atau ‘kecaman’ sebaliknya untuk menggambarkan sejauh mana perdebatan berhubung mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah dipolitikkan.
Dalam sepucuk surat yang disiarkan FMT pada Khamis, bekas ahli Parlimen dan pengarah Suaram, Kua Kia Soong, berkata kritikan Khoo terhadap Teo tidak kena pada tempatnya.
Kua berkata Khoo sepatutnya melepaskan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, bukannya seorang timbalan menteri kerana ‘menimbus’ laporan pasukan petugas itu dan menahan dapatan kajiannya daripada didedahkan.
Khoo membantah pandangan itu dengan berkata beliau sekadar menunjukkan di mana letaknya unsur politik dalam isu tersebut.
“Apa yang benar-benar mengecewakan saya ketika itu ialah timbalan menteri tersebut kelihatan tidak menghormati jawatankuasa. Seorang timbalan menteri pendidikan bukan sekadar seorang ‘menteri junior’,” katanya kepada FMT.
Khoo, yang mengetuai pasukan petugas yang dibentuk oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019, sebelum ini mendakwa dalam satu audiosiar bahawa isu itu terus dipolitikkan ‘disebabkan oleh individu seperti Teo’, yang disifatkannya sebagai ‘provokator’.
Beliau menuduh Teo ‘mencetuskan ketegangan’ dengan mengeluarkan satu kenyataan kepada media Cina dan satu lagi kepada media Melayu, sambil melabelkannya sebagai ‘eksploitatif’ dan ‘manipulatif’, serta mendakwa Teo tidak benar-benar mahukan penyelesaian terhadap isu tersebut.
Teo kemudiannya menolak tuduhan Khoo sebagai tidak berasas, dengan menyatakan beliau tidak pernah menyembunyikan pendiriannya menyokong pengiktirafan UEC atau ‘mengubah prinsip mengikut keadaan’.
Beliau mengulangi pendiriannya bahawa UEC adalah ‘baik untuk Malaysia’ dan akan memperkukuh ekosistem pendidikan serta menyokong pembangunan bakat tanpa mencemarkan identiti nasional.
Bagaimanapun, Khoo berkata beliau mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya, selepas berdepan dengan Teo melalui pesanan mesej sejak 2020.
“Sudah tentu, beliau berkata ia satu salah faham. Kua mungkin menganggapnya remeh dan melihat timbalan menteri itu sebagai faktor kecil, tetapi taktik sebegini memanjangkan isu dan mewujudkan banyak niat tidak baik. Sudah tentu itu bukan perkara remeh,” katanya.
Pendirian sama, pendekatan berbeza
Khoo menegaskan bahawa beliau dan Kua berkongsi pendirian yang sama mengenai isu UEC, namun berbeza dari segi pendekatan. Beliau berkata Kua sebelum ini pernah dijemput menyertai pasukan petugas itu tetapi menolak untuk ‘memuliakannya’ dengan penyertaan beliau.
“Saya rasa itu perkataan yang beliau gunakan. Beliau memilih untuk tidak ‘memuliakan’ atau mengiktiraf peranan jawatankuasa tersebut. Saya tidak menolak mana-mana persoalan yang dibangkitkannya. Saya mungkin tidak mengemukakannya sekeras beliau… tetapi persoalan-persoalan itu sentiasa dibangkitkan,” kata Khoo.
Beliau menambah bahawa objektifnya melalui pasukan petugas itu bukan sekadar mengkaji isu UEC, tetapi untuk mewujudkan budaya jawatankuasa yang berwibawa dan ‘sangat interaktif’ bagi menghimpunkan serta merundingkan pandangan yang berbeza.
Khoo mengkritik budaya jawatankuasa sedia ada yang menurutnya kebanyakannya melibatkan ‘tiga atau lima orang duduk dalam satu bilik dan membuat keputusan’.
“Kami menghimpunkan individu dan kumpulan yang bertentangan secara diametrik. Dong Zong dan Ikatan Muslimin Malaysia duduk dalam satu bilik dan mengadakan perbincangan yang sangat terbuka. Kami juga membawa golongan muda daripada pelbagai kumpulan seperti Persekutuan Pelajar Melayu Semenanjung untuk berbincang dengan graduan UEC.
“Inilah sebabnya saya menjalankan aktiviti pasukan petugas ini seperti yang saya lakukan. Sekurang-kurangnya, jika kami dapat mewujudkan budaya jawatankuasa yang berwibawa dan serius, yang kita tidak ada ketika ini, itu sudah memadai bagi saya,” katanya.
