
PETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, menegaskan kenyataan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tiada peruntukan berkaitan pemilikan serta kawal selia minyak dan gas (O&G) bukan pendirian kerajaan negeri pimpinannya.
Beliau berkata demikian selepas Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said dilaporkan berkata, MA63 tidak mengandungi peruntukan mengenai pemilikan serta kawal selia minyak dan gas.
Katanya, MA63 adalah dokumen asas yang menetapkan terma pembentukan Malaysia, termasuk hak serta autonomi Sabah dan Sarawak dalam beberapa bidang tertentu.
Azalina berkata, pengurusan serta kawal selia industri minyak dan gas ditentukan sepenuhnya melalui undang-undang persekutuan, khususnya Akta Kemajuan Petroleum.
Hajiji berkata, kerajaan negeri masih berbincang dengan Putrajaya bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap tuntutan hak Sabah.
“Itu pendapat mereka, kita di Sabah masih berbincang mengenai perkara itu,” katanya selepas menghadiri satu majlis di Kota Kinabalu semalam.
Tegasnya, kerajaan negeri komited memastikan perkara berkaitan hak serta kepentingan Sabah dapat direalisasikan melalui perbincangan.
“Sekarang ini, ia dalam perbincangan untuk direalisasikan. Insya-Allah kita tunggu saja.”
Sementara itu, Adun dilantik, Roger Chin, berkata MA63 bukan undang-undang teknikal untuk mengawal industri tertentu, sebaliknya perjanjian asas pembentukan negara yang menentukan pembahagian kuasa serta kawalan ekonomi antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Jelasnya, MA63 mendapat kekuatan undang-undang melalui penggabungannya dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh disempitkan hanya kerana tiada peruntukan literal berkaitan minyak dan gas.
Katanya, Akta Kemajuan Petroleum 1974 menunjukkan Putrajaya tiada pemilikan asal ke atas petroleum, manakala tindakan Sarawak mengekalkan undang-undang berkaitan minyak dan gas negeri pula adalah pelaksanaan kuasa yang tidak pernah dimansuhkan secara sah.
