Tak perlu jawab dakwaan serah tanah kepada Indonesia di Parlimen, kata PM

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim bidas kaedah politik pembangkang yang guna kebebasan bersuara untuk sebar fakta salah. (Gambar Bernama)

GOMBAK: Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan menjelaskan di Parlimen dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.

Perdana menteri turut membidas pembangkang yang mengambil kesempatan terhadap ruang kebebasan bersuara menyebarkan fakta yang salah berhubung isu berkenaan.

“Tidak perlu beri penjelasan (di Parlimen).

“Mereka (pembangkang ) mesti bertanggungjawab atas tuduhan yang dibuat, menipu dan memfitnah secara berterusan.

“Kita tidak boleh menerima cara dan kaedah politik yang buruk dan busuk seperti ini,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah.

Beliau mengulas gesaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin semalam supaya kerajaan membincangkan dakwaan pemberian tanah itu kepada Indonesia.

Menurutnya, walaupun dakwaan terbabit telah dinafikan Anwar tetapi isu seperti itu penting untuk dibincangkan termasuk dalam Parlimen kerana melibatkan kedaulatan negara.

Pada 24 Jan lalu, Anwar menafikan dakwaan itu dan menjelaskan kerajaan akan mengadakan rundingan secara baik dalam mencari penyelesaian berhubung isu tiga kampung yang dilaporkan termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.

Media melaporkan tiga kampung itu ialah Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas yang terletak berdekatan sempadan Tawau, Malaysia.

Author: admin