Projek LRT3 catat perkembangan positif, 5 tren lulus ujian FFR

LRT
Projek LRT 3 laluan Shah Alam sepanjang 37.8km mempunyai 25 stesen, menghubungkan Bandar Utama dengan Johan Setia serta bersambung dengan MRT Kajang di Bandar Utama dan LRT Kelana Jaya di Glenmarie.

PETALING JAYA: Projek laluan transit aliran ringan laluan Shah Alam (LRT3) catat perkembangan positif dengan lima daripada keseluruhan 22 set tren berjaya melengkapkan satu ujian penting, kata Prasarana Malaysia Bhd.

Dalam satu kenyataan, Prasarana berkata lima set tren itu melengkapkan ujian fault-free run (FFR), iaitu fasa kritikal dalam proses ujian dan pentauliahan sebelum operasi percubaan dan perkhidmatan penumpang dimulakan.

“Lima set tren tersebut merupakan tren daripada Kumpulan 1 yang berjaya melepasi ujian FFR dengan prestasi operasi yang stabil dan konsisten.

“Sementara itu, satu lagi set tren dalam kumpulan sama kini berada pada fasa akhir pengujian dan dijangka melengkapkan ujian FFR pada lewat hari ini,” kata kenyataan itu.

Katanya, sebanyak lapan set tren dalam Kumpulan 2 turut berada pada peringkat akhir pengujian dan dijangka dapat diselesaikan secara berperingkat menjelang 2 Feb.

“Sebaik sahaja keseluruhan proses pengujian bagi Kumpulan 1 dan Kumpulan 2 selesai, kontraktor Setia Utama LRT3 Sdn Bhd mempunyai tempoh 7 hari untuk mengemaskini dan menambahbaik perisian dan pengoperasian sistem.

“Seterusnya pengujian FFR bagi Kumpulan 3 dengan melibatkan baki 8 set tren, akan disambung dan dijangka siap pada 28 Feb,” katanya.

Ujian FFR merupakan ujian integrasi menyeluruh yang melibatkan sistem isyarat, komunikasi, set tren (Light Rail Vehicle – LRV) serta sistem kawalan operasi.

Semua 22 set tren akan melalui Pemeriksaan Cermat Akhir (PCA) yang bertujuan untuk memeriksa dan menguji kesiapan kereta api yang dibina supaya mematuhi Skim Kereta Api dan dokumen Cadangan Teknikal untuk tujuan pengoperasian yang selamat.

Ia juga merupakan prasyarat utama sebelum permohonan lesen pengendali rel dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Fasa seterusnya diteruskan dengan ujian operasi percubaan oleh Operator, Rapid Rail Sdn Bhd, sebelum laluan ini bersedia untuk memasuki fasa operasi sepenuhnya.

CEO Prasarana, Amir Hamdan, pada Disember lalu berkata laluan LRT3 akan dilancarkan selepas fasa ujian dan pentauliahan selesai.

Author: admin