Kalau gagal ‘damai’, baik PAS tanding solo, kata mursyidul am

Hashim Jasin
Hashim Jasin berkata PAS tiada masalah bertanding solo pada PRU16.

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mencadangkan PAS bertanding solo jika jalan damai’ gagal ditemui dalam menyelesaikan kemelut pelantikan pengerusi pelantikan pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada FMT, beliau bagaimanapun berkata sebaiknya usaha mengisi kerusi ditinggalkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin itu diselesaikan menerusi rundingan terlebih dahulu.

“Saya minta runding dahulu, sekarang kita dilihat dok (tengah) bergaduh.

“Kalau gagal gerak solo. Itu sahaja, kalau berjaya (runding) baguslah bukan nak berkelahi,” katanya yang akan membawa perkara itu dalam mesyuarat Majlis Syura dengan Jawatankuasa PAS Pusat petang ini.

Beliau mengulas perkembangan kini kemelut pelantikan pengerusi PN yang dilihat sukar diselesaikan dalam masa terdekat susulan ketidakhadiran Presiden PAS Hadi Awang dalam pertemuan membabitkan presiden komponen di kediaman Muhyiddin, malam tadi.

Pertemuan itu dipanggil Muhyiddin tidak lama selepas mesyuarat majlis tertinggi PN yang dijadualkan pada malam sama dibatalkan.

Mesyuarat yang dibatalkan itu untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan, yang berkuat kuasa pada 1 Jan.

Sebelum pertemuan empat presiden dalam PN itu, PAS menafikan dakwaan Muhyiddin dalam satu surat yang parti itu dan Bersatu bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi.

Menurut Muhyiddin, langkah itu sebahagian usaha penstrukturan semula gabungan itu yang menyaksikan Bersatu akan menerajui majlis presiden PN, manakala PAS mengetuai jawatankuasa eksekutif.

Menekankan PAS tiada masalah bertanding solo, Hashim berkata rundingan dengan parti lain dibuat selepas pilihan raya dalam membentuk kerajaan.

“Misalnya Bersatu tak boleh kerjasama, tiba-tiba Umno boleh…kita rundinglah.

“Tiada masalah runding dengan Umno, dahulu kita buat Muafakat Nasional (MN) yang kita lihat masyarakat (ahli PAS dan Umno) berdamai di peringkat bawah,” katanya.

Author: admin