Hamzah gesa bincang dakwaan serah tanah kepada Indonesia di Parlimen

Hamzah Zainudin Dewan rakyat
Hamzah Zainudin mahu kerajaan ambil pendekatan semak dan imbang dalam isu dakwaan penyerahan tanah kepada kerajaan Indonesia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan digesa membincangkan dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan di Parlimen.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata walaupun dakwaan itu telah dinafikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi isu seperti itu penting untuk dibincangkan kerana melibatkan kedaulatan negara.

“Sila jelaskan perkara ini. Apa sebenarnya berlaku. Kami nak perkara seperti ini terutama isu kedaulatan ini bawalah ke dalam Parlimen (untuk) bincang.

“Kalau tak nak (bawa ke) Parlimen dalam jawatankuasa (pilihan khas Parlimen) pun tak apa. Kalau rasa patut, kita setuju…kalau tak setuju (minta) tangguh dan kalau tak sesuai, kita tolak.

“Ini ‘check and balance’,” kata Ahli Parlimen Larut itu sidang media.

Pada 24 Jan lalu, Anwar menafikan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.

Menurutnya, kerajaan akan mengadakan rundingan secara baik dalam mencari penyelesaian berhubung isu tiga kampung yang dilaporkan termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.

Sebelum ini, media melaporkan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, dikatakan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

Tiga kampung itu ialah Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas yang terletak berdekatan sempadan Tawau, Malaysia.

Author: admin