
PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan angkatan tentera direman enam hari hingga 2 Feb kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000 sebagai balasan memberikan kerja pembekalan bahan mentah bagi senggaraan stor di sebuah kem di Melaka.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 40-an itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani selepas membenarkan permohonan agensi itu, di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pagi tadi.
Sumber berkata, suspek ditahan pada 12.15 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati suspek, yang ketika kejadian bertugas sebagai pegawai pemerintah di kem berkenaan, disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000 sekitar 2024 sebagai balasan memberikan kerja-kerja pembekalan bahan mentah,” katanya menurut Bernama.
Katanya, suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai daripada lima syarikat yang memperoleh kerja-kerja pembekalan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
