
PETALING JAYA: Walaupun tiada kes penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperketatkan saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa Malaysia, khasnya pengembara dari negara berisiko susulan laporan penularan wabak itu di Bengal Barat, India.
KKM berkata, pengawasan berterusan dan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan dipertingkatkan selaras pelaksanaan langkah pencegahan serta kawalan, selain pengukuhan kapasiti makmal negara bagi memastikan pengesanan awal.
Kesiapsiagaan fasiliti kesihatan turut dipertingkatkan selaras dengan pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan, merangkumi amalan pencegahan dan kawalan infeksi (IPC) serta kerjasama rentas sektor dan antara agensi akan terus diperkukuh bagi melindungi kesihatan awam serta mencegah sebarang risiko kemunculan semula penyakit Nipah di negara ini.
“(KKM juga menjalin) kerjasama rentas sektor dan antara agensi bagi melindungi kesihatan awam dan mencegah kemunculan semula penyakit Nipah di negara ini.
“Setakat ini, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar,” katanya dalam kenyataan sambil menambah tiada kes baharu dilaporkan dalam negara sejak September 1999.
Penyakit Nipah ialah penyakit berjangkit zoonotik disebabkan virus Nipah dengan keluang sebagai perumah semula jadi.
KKM berkata, jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan dijangkiti seperti air liur, darah dan rembesan, pengambilan makanan tercemar serta kontak dengan cecair badan individu dijangkiti.
Gejalanya termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, kesukaran bernafas, sawan, kekeliruan dan kebingungan lazimnya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima hingga 14 hari.
“Komplikasi penyakit ini termasuk radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan dengan kadar kematian antara 40% hingga 75%.”
Ia menasihatkan pengembara ke kawasan berisiko tinggi menjaga kebersihan diri, mengelakkan sentuhan dengan haiwan sakit atau pengambilan produk disyaki tercemar.
“Pengembara dari kawasan berisiko dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri dan segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya tidak sihat,” katanya sambil menambah penyakit Nipah wajib dilaporkan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
