
PETALING JAYA: Siasatan berhubung kes tembakan yang mengorbankan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka pada November lalu masih diteruskan, dengan polis kini menunggu laporan teknikal seperti forensik dan balistik.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis telah merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara sebanyak dua kali, masing-masing pada 16 Dis dan 29 Dis.
“Status terkini kes masih di peringkat siasatan lanjut sementara menunggu laporan teknikal daripada agensi berkaitan seperti laporan forensik dan balistik sebelum keputusan muktamad diambil,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Saifuddin memberi jaminan bahawa kepercayaan awam terhadap agensi penguatkuasaan akan terus dipelihara melalui ketelusan proses siasatan itu.
Beliau menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu), yang bertanya mengenai langkah-langkah kerajaan untuk memastikan ketelusan dalam siasatan kejadian tembakan itu.
Satu pasukan khas siasatan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sedang menyiasat kes berkenaan selepas ia diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Ketiga-tiga lelaki itu ditembak mati oleh polis Melaka, yang mendakwa mereka adalah perompak bersiri dan menyerang seorang anggota polis dengan parang. Polis Melaka pada mulanya menyiasat insiden itu sebagai cubaan membunuh.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili keluarga M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29, berkata satu rakaman audio serta bukti forensik menunjukkan bahawa ketiga-tiga lelaki itu dibunuh seperti ‘gaya hukuman mati’.
Pada 3 Jan, keluarga tiga lelaki yang maut itu menyerahkan satu memorandum kepada ketua polis negara, menuntut tindakan diambil terhadap anggota polis yang terlibat dalam kejadian tersebut.
