Pemimpin GRS gesa semakan undang-undang hak O&G dalam MA63

oil rig petronas
Ketua Penerangan Pemuda GRS Barhul Sahibu berkata, kepastian undang-undang berhubung hak O&G Sabah amat penting untuk kekalkan hubungan persekutuan-negeri yang sihat dan stabil. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa kerajaan negeri Sabah supaya membawa isu pemilikan minyak dan gas (O&G) di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke mahkamah bagi mendapatkan penentuan yang jelas, telus dan menepati perlembagaan.

Ketua Penerangan Pemuda GRS Barhul Sahibu berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said semalam, bahawa MA63 tidak mengandungi sebarang peruntukan mengenai pemilikan atau kawal selia sumber minyak dan gas, telah menimbulkan persoalan serius berhubung tafsiran perlembagaan serta semangat pembentukan Malaysia.

Beliau menegaskan, walaupun MA63 mungkin tidak menyebut perihal petroleum secara terang-terangan, ia tidak boleh ditafsirkan secara sempit.

MA63 merupakan dokumen pengasas Malaysia yang menjamin kedudukan, hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan persekutuan, tegasnya.

“Persoalan utamanya adalah sama ada ini merupakan pendirian rasmi kerajaan persekutuan, bahawa sumber minyak dan gas dikecualikan sepenuhnya daripada hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak di bawah MA63. Jika benar, perkara ini mesti diperjelas dengan nyata dan konsisten,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini bukan soal emosi atau retorik. Ia mengenai hak perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan keadilan untuk Sabah. Kepastian undang-undang amat penting bagi mengekalkan hubungan persekutuan-negeri yang sihat dan stabil berdasarkan prinsip perkongsian saksama seperti yang dijanjikan semasa pembentukan Malaysia.”

Beliau memberi amaran bahawa sebarang undang-undang persekutuan yang digubal selepas 1963, termasuk Akta Kemajuan Petroleum 1974, tidak seharusnya menghakis semangat, hak atau autonomi negeri seperti yang dijamin pada asalnya.

Barhul menggesa kerajaan Sabah agar mengambil langkah proaktif dan memohon penjelasan kehakiman bagi mengelakkan tafsiran atau kenyataan politik sepihak daripada menjejaskan hak negeri berhubung sumber aslinya.

Terdahulu hari ini, Premier Sarawak Abang Johari Openg turut menyatakan bahawa skop MA63 mengenai hal ehwal minyak dan gas sewajarnya diserahkan kepada mahkamah untuk diputuskan.

Author: admin