Tanah rizab Melayu terlibat projek jalan di Semenyih akan diganti, kata PM

Anwar Ibrahim hadir pada majlis pelancaran projek pembangunan prasarana awam Semenyih. (Gambar Bernama)

SEMENYIH: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kawasan rizab Melayu yang terlibat dalam projek jalan pintasan Semenyih akan diganti semula.

Beliau berkata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari turut memberi jaminan akan menyelesaikan isu berbangkit berkaitan projek berkenaan.

“Saya hendak beritahu soal rizab Melayu saya tak bertolak ansur. Ya tanah di negeri Melayu, walaupun kita terpaksa ambil kerana pembangunan jalan, kita akan ganti.

“Ini jaminan daripada menteri besar, kemudian projek lain kita uruskan sebaik mungkin,” katanya berucap melancarkan projek pembangunan prasarana awam Semenyih.

Turut hadir Amirudin, Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh dan Pengerusi KHK Land Zainol Abidin Mohamed.

Anwar berkata, projek jalan pintasan Semenyih penting bagi menangani isu kesesakan lalu lintas serius di kawasan berkenaan, sambil menjelaskan ia telah lama tertangguh sejak 2016.

Projek kerjasama antara KHK Land dan kerajaan persekutuan itu melibatkan laluan sepanjang 4.3 km dengan empat lorong.

Laluan itu bakal menghubungkan Semenyih ke Lebuhraya SILK serta enam lebuh raya utama termasuk LEKAS dan CKE.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 48 pemilik lot tanah di Kampung Sungai Pening tidak berpuas hati selepas mendakwa Kerajaan Negeri Selangor mahu mengambil tanah mereka bagi pembinaan jalan pintasan menuju ke Lebuhraya SILK.

Anwar berkata kerajaan juga akan menyediakan tanah perkuburan di Semenyih bertujuan menampung kepadatan tanah perkuburan sedia ada di Kuala Lumpur.

Menurutnya, tanah perkuburan itu akan diselenggara sepenuhnya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan boleh menampung sehingga 100,000 lot baharu.

Author: admin