
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Kemajuan Malaysia P Waytha Moorthy memohon untuk bertindak sebagai peguam bersama dalam saman beliau mencabar pemilihan Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Tambun dan pelantikan susulannya sebagai perdana menteri.
Peguam Waytha, S Karthigesan memaklumkan kepada Hakim Alice Loke semasa pengurusan kes hari ini, permohonan bekas menteri itu untuk mendapatkan kebenaran tampil sebagai peguam bersama difailkan pada 22 Jan lepas.
Apabila ditanya jika terdapat sebarang bantahan, Peguam Kanan Persekutuan Sallehuddin Ali berkata, beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.
Mahkamah Tinggi turut menangguhkan pendengaran permohonan Anwar untuk membatalkan saman tersebut, yang dijadualkan hari ini, selepas peguamnya Ranjit Singh dimasukkan ke hospital.
Loke menetapkan tarikh baharu kes didengar pada 25 Feb.
Peguam Daniel Albert dan Nicholas Yap tampil mewakili Anwar.
Apabila ditanya pemberita mengapa beliau mahu tampil sebagai peguam bersama, Waytha menjawab beliau seorang ‘peguam terlatih’.
Karthigesan menjelaskan, anak guamnya pernah menjadi peguam dan berkhidmat sebagai senator, menambah beliau berkebolehan berhujah di mahkamah.
Waytha memfailkan saman itu pada 14 Ogos tahun lepas.
Beliau memohon deklarasi kehakiman bahawa pengampunan diraja penuh yang diberikan kepada Anwar pada 2018 tidak menghapuskan kehilangan kelayakan lima tahun menurut perlembagaan yang dikenakan terhadap individu disabitkan dengan kesalahan jenayah.
Justeru, beliau mahu Anwar dilucutkan kelayakan daripada bersidang di Dewan Rakyat mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pemilihan Anwar sebagai perdana menteri pada 19 Nov 2022, serta pelantikannya lima hari kemudian, sebagai tidak sah dan terbatal.
Anwar berhujah bahawa saman itu, pada intipati dan kesannya, merupakan cabaran secara langsung terhadap pemilihannya ke Dewan Rakyat pada 2022.
Presiden PKR itu menegaskan, saman itu bercanggah dengan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, yang melarang sesuatu keputusan pilihan raya dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya.
Beliau juga mendakwa saman itu wajar dibatalkan kerana ia jelas tidak boleh dipertahankan, tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah terhadapnya, serta bersifat remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Pada 16 Mei 2018, Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V mengurniakan pengampunan penuh kepada Anwar bagi tiga kes melibatkan tuduhan salah guna kuasa dan liwat, atas alasan berlaku ‘salah laksana keadilan’.
Anwar dalam satu sidang media ketika itu menyatakan, pengampunan tersebut juga diberikan atas dasar wujudnya konspirasi untuk menghukum beliau dan memusnahkan karakter politiknya.
