
PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mencuri perhatian orang ramai apabila dilihat menikmati masa santai di sebuah kafe di pusat beli-belah terletak di Bukit Damansara hari ini.
Menurut pembantunya, Sufi Yusoff, bekas perdana menteri itu dibawa keluar seketika dari Institut Jantung Negara (IJN) setelah lebih 20 hari menerima rawatan, namun masih belum dibenarkan pulang ke rumah.
“(Beliau) memilih untuk menikmati segelas ‘ice chocolate’ pada ‘outing’ pertamanya sejak dimasukkan ke IJN pada 6 Jan bagi rawatan dan pemulihan selepas terjatuh di kediamannya.
“(Beliau) kemudian dibawa semula ke IJN. Beliau masih belum dibenarkan pulang ke rumah dan akan terus menerima rawatan di IJN,” katanya dalam kenyataan.
Mahathir yang ditemani isterinya, Dr Siti Hasmah Ali, meluangkan masa kira-kira 40 minit di kafe tersebut, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif IJN Dr Mohamed Ezani Md Taib serta sekumpulan pegawai perubatan.
Awal bulan ini, Mahathir dimasukkan ke IJN selepas terjatuh di kediamannya di The Mines, mengakibatkan tulang pinggul kanannya patah.
Menurut anaknya Mukhriz, bapanya dinasihatkan berehat antara dua hingga tiga minggu memandangkan pembedahan bukan satu pilihan sesuai berikutan faktor usia Mahathir yang sudah mencecah 100 tahun.
