Air sungai bertukar hitam, kilang sawit digantung operasi, pengurus ditahan

JAS Johor menahan pengurus dan operator sebuah kilang memproses kelapa sawit bagi membantu siasatan pencemaran sungai di kawasan jeti Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi. (Gambar JAS Johor)

PETALING JAYA: Operasi sebuah kilang memproses kelapa sawit digantung, manakala pengurusnya ditahan susulan pencemaran sungai di kawasan jeti Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi, Johor.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Famey Yusoff, berkata pencemaran itu dilaporkan berlaku Ahad lalu, selepas wakil penduduk kampung mengadu keadaan air sungai bertukar warna hitam.

Menurutnya, siasatan penguat kuasa JAS mendapati punca pencemaran disyaki dari sebuah kilang memproses kelapa sawit di kawasan Layang-Layang, Kluang.

“Pemeriksaan teknikal di premis berkenaan menemui pelanggaran serius apabila sistem pengolahan efluen gagal berfungsi dengan baik.

“Siasatan mendapati struktur furrow (saluran efluen) dalam kawasan premis pecah menyebabkan efluen mentah terlepas keluar dan mengalir terus ke punca air, sekali gus mengakibatkan pencemaran sungai serta menjejaskan penduduk setempat,” katanya menurut Sinar Harian.

Ahad lalu, Ketua Jaringan Perikanan Nelayan Darat Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Azman Inam dilaporkan berkata, nelayan mengesan perubahan warna air Ulu Sungai Johor menjadi kehitaman ketika menangkap ikan berhampiran jeti pada petang hari sama.

Oktober lalu, air di sepanjang Ulu Sungai Johor bertukar warna putih akibat pencemaran berpunca daripada kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor berdekatan Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Pencemaran itu menjejaskan kira-kira 150 nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor dan 1.8 juta penduduk di Johor Bahru, Kulai, Pontian serta Kota Tinggi.

Famey berkata, pihaknya mengarahkan operasi kilang itu dihentikan sementara, manakala lesen operasinya digantung sehingga kerja penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang alam sekitar.

Jelasnya, pengurus kilang dan seorang operator turut ditahan mengikut Seksyen 37(C) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk siasatan rapi sebelum pihak bertanggungjawab didakwa di mahkamah.

Tegasnya, JAS Johor tidak berkompromi sebarang bentuk jenayah alam sekitar dan pihak industri diingatkan sentiasa memastikan sistem pengolahan efluen dalam keadaan baik serta mematuhi peraturan.

“Kecuaian dalam menguruskan sisa buangan industri bukan sahaja merosakkan ekosistem sungai, malah memberi kesan buruk terhadap kualiti hidup masyarakat setempat.”

Author: admin