Anak Bung angkat sumpah Ahli Parlimen Kinabatangan

Kurniawan Naim Moktar mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu, Kurniawan Naim Moktar mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul sebelum sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.

Kurniawan Naim mengangkat sumpah selepas memenangi PRK Kinabatangan pada Sabtu lepas dengan majoriti besar 14,214 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Beliau menewaskan Saddi Abdul Rahman daripada Warisan yang memperoleh 5,638 undi manakala calon Bebas Goldam Hamid mendapat 946 undi.

PRK Parlimen Kinabatangan diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar Radin, 66, yang juga bapa kepada Kurniawan Naim, pada 5 Dis tahun lepas.

Johari dalam ucapan pemasyuran selepas majlis angkat sumpah itu berharap Kurniawan Naim dapat memberi khidmat terbaik buat penduduk di kawasannya, selain memainkan peranan yang berkesan di Dewan Rakyat buat kebaikan rakyat dan negara.

“Saya berharap Yang Berhormat dapat meneruskan legasi dan jasa Allahyarham ayahanda dengan beri sumbangan yang bermakna, semoga berkhidmat dengan cemerlang dan dedikasi,” katanya.

Kurniawan Naim turut mengajukan soalan pertama beliau di Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri mengenai potensi kemasukan pelaburan ke kawasan luar bandar termasuk di Parlimen Kinabatangan.

Author: admin