
KUALA LUMPUR: Kejelasan misi yang mutlak, komitmen mendalam terhadap pembinaan negara, ketegasan serta empati, dan percaya kepada pembinaan konsensus melalui rundingan, adalah ciri-ciri kepimpinan Abdul Razak Hussein ketika perdana menteri kedua negara itu berusaha membina semula Malaysia selepas peristiwa 1969, kata anaknya, Nazir Razak.
“Tun Razak dan rakan seangkatan pada awalnya berjuang untuk kemerdekaan, selepas itu kita perlu membina sebuah negara,” kata Nazir kepada FMT dalam satu temu bual. Pada mulanya wujud Tanah Melayu, kemudian Malaysia, kedua-duanya negara bangsa yang dibentuk daripada sempadan penjajahan.
“Namun rakyat ketika itu masih belum benar-benar ‘orang Malaysia’. Mereka yang hidup pada zaman tersebut, seperti (bekas timbalan perdana menteri) Tun Musa Hitam, sering mengingatkan saya – Jangan lupa bahawa misi utama adalah sentiasa untuk bina sebuah bangsa Malaysia,” kata Nazir, yang juga pengerusi Yayasan Tun Razak, sebuah yayasan yang ditubuhkan bagi mengangkat nilai serta legasi bapanya.
Sempena ulang tahun ke-50 pemergian Razak, yayasan itu beralih daripada sekadar memperingati legasi beliau kepada usaha aktif membentuk pemimpin masa depan melalui program kepimpinan belia yang disertai 50 hingga 60 anak muda berusia 16 hingga 17 tahun.
“Salah satu keutamaan kami pada tahun ini ialah beralih daripada hanya beri tumpuan kepada dasar dan institusi beliau yang relevan pada ketika itu, tetapi tidak semestinya pada masa ini,” kata Nazir.
Beliau berkata beberapa nilai menjadi ciri utama kepimpinan bapanya ketika membantu negara mengharungi trauma tragedi 13 Mei dan membina semula negara dalam era pasca-1969, yang boleh digambarkan sebagai ‘Malaysia 2.0’.
Katanya, apa yang membezakan kepimpinan bapanya ialah ‘misi yang jelas’ serta komitmen mendalam terhadap pembinaan negara, bukan sekadar tadbir urus, pada zaman di mana identiti Malaysia masih belum wujud.
“Kita bukan satu-satunya negara pasca-penjajahan yang berdepan tugas tersebut. Banyak negara dibentuk berdasarkan sempadan yang dilakar oleh kuasa penjajah,” katanya. Banyak negara yang baru merdeka tidak mempunyai faktor penyatuan seperti etnik, agama atau tujuan bersama sejak awal.
“Malah Tanah Melayu sendiri mempunyai banyak negeri yang ditadbir secara berasingan. Namun kita semua akhirnya bersatu dan memutuskan untuk membina negara ini,” kata Nazir.
Memandang ke hadapan, Nazir berkata menetapkan sesuatu sasaran juga adalah salah satu aspek pembinaan negara. Sebagai contoh menjelang 2050, di mana “kita semua sepatutnya dilahirkan sebagai orang Malaysia dan menghapuskan keperluan kategori kaum pada kad pengenalan”.
“Kerana kita semua dilahirkan sebagai rakyat Malaysia dan semuanya bersekolah bersama.
“Mungkin itulah masanya, dan mungkin kita boleh berusaha ke arah itu,” kata Nazir.
Kepimpinan tegas dan berani
Razak seorang pemimpin yang amat mengutamakan rundingan, namun tetap berani membuat keputusan, kata Nazir, sambil mengimbas bagaimana bapanya membentuk sistem pendidikan melalui Laporan Razak, serta memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara.
“Ia bukan idea dari atas ke bawah — sebaliknya hasil proses rundingan rasmi yang meluas,” kata Nazir.
Laporan Razak melibatkan pandangan guru dan ibu bapa, manakala Rukun Negara serta Dasar Ekonomi Baru dibentuk menerusi perbincangan berbulan-bulan dalam Majlis Perundingan Negara yang dianggotai 67 tokoh daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Selama berbulan-bulan, orang ramai habiskan hujung minggu berbahas — mengapa peristiwa 13 Mei berlaku, dan apa yang perlu dibuat selepas itu. Bentuk rundingan seperti itu sangat penting,” kata Nazir.
“Namun sampai satu tahap, keputusan perlu dibuat dan dilaksanakan. Ada orang yang terus berunding dan berunding hingga akhirnya tertangguh. Beliau tidak. Beliau kata, baik, inilah keputusannya — dan kita teruskan. Dan kadangkala keputusan itu sangat berisiko dan berani. Tetapi beliau tetap teruskannya.”
Nazir berkata bapanya mempunyai gaya komunikasi yang tenang tetapi berkesan. Beliau juga bukan seorang pemidato yang berkarisma.
Katanya, bapanya terkenal dengan kebolehan berkomunikasi secara empati dan menyampaikan maksud tertentu, dengan mesej disesuaikan mengikut khalayak, bukannya bergantung kepada retorik dramatik.
“Razak bukanlah seorang pemidato hebat yang boleh meniup semangat tentera di atas pentas — tetapi jika anda membaca kandungan ucapannya, ia sangat kuat,” kata Nazir.
“Beliau pastikan beliau memahami khalayak, malah individu, supaya mereka menerima mesej yang tepat selaras dengan apa yang beliau mahu mereka lakukan.”
Razak merupakan timbalan perdana menteri kepada Tunku Abdul Rahman dari 1957 sebelum dilantik sebagai perdana menteri pada 1970. Beliau juga pernah memegang jawatan menteri pembangunan luar bandar dan memainkan peranan penting dalam penubuhan Felda serta skim penempatan tanah berskala besar, yang menjadikan beliau dikenali sebagai Bapa Pembangunan.
Razak meninggal dunia pada 14 Jan 1976 dan Yayasan Tun Razak ditubuhkan di bawah akta Parlimen pada tahun yang sama bagi mempromosikan pendidikan, meningkatkan taraf hidup, serta memupuk keharmonian antara kaum, sejajar dengan idealisme dan perjuangan Razak.
Bagi memperingati ulang tahun ke-50 pemergiannya serta memupuk kepimpinan berteraskan nilai, Yayasan Tun Razak kini dengan fokus baharu merangkumi kurikulum berasaskan nilai bagi program kepimpinan belia yang telah dijalankan selama beberapa dekad.
Ia juga menghasilkan sebuah dokumentari dan buku, semuanya bertujuan merangkum legasi Razak yang kurang diketahui umum.
Yayasan itu juga meneruskan Anugerah Tun Razak kepada individu atau organisasi yang memberi sumbangan cemerlang kepada pembangunan negara.
Maklumat lanjut mengenai Yayasan Tun Razak boleh didapati di laman sesawang http://yayasantunrazak.org.my.
