
PETALING JAYA: Tiga suspek penjenayah warga Malaysia dilaporkan bertindak agresif terhadap anggota keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj di Mumbai, India selepas mereka tidak dibenarkan masuk ke United Kingdom (UK).
Menurut laporan NDTV, ketiga-tiga lelaki itu yang dipercayai anggota sindiket jenayah yang diburu menerusi Op Jack Sparrow oleh Bukit Aman dan dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan serta khianat di Malaysia.
Mereka dipercayai berjaya keluar dari negara ini ke Mumbai dan cuba memasuki Manchester, England menerusi satu penerbangan tetapi dihalang masuk oleh imigresen UK.
Susulan itu, mereka dihantar pulang ke lokasi terakhir penerbangan, iaitu Mumbai.
Setibanya di Mumbai, ketiga-tiga lelaki itu terlibat dalam pergelutan dengan anggota keselamatan India sebelum berjaya ditahan dan diletakkan di bilik tahanan dengan kawalan ketat.
Satu pasukan khas polis Malaysia dijangka tiba di Mumbai bagi membawa mereka pulang ke negara ini.
Pada September lalu, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata polis menumpaskan satu kumpulan yang didakwa terlibat dalam pembunuhan dua lelaki di Taman Sentosa, Klang, awal 2025, susulan penahanan 17 suspek.
Beliau berkata kumpulan itu, yang didalangi seorang warga Malaysia, aktif sejak 2023 dan mempunyai 33 ahli.
Kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam beberapa jenayah ganas termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, khianat dengan api dan rompakan berkumpulan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.
Op Jack Sparrow yang dilancarkan Bukit Aman membawa kepada penahanan 17 suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
