
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menjelaskan rasional di sebalik lanjutan tempoh perkhidmatan Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak tiga kali, bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap kebebasan institusi itu.
Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berkata, tindakan melanjutkan kontrak individu sama berulang kali memberi tanggapan seolah-olah SPRM tidak mempunyai pelapis berbakat atau wujud campur tangan pihak tertentu.
“Langkah yang lebih telus dan terbuka adalah melalui Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen,” katanya dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat.
Mei lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan semula Azam bagi jawatan itu selama setahun.
Azam, yang sebelum ini timbalan ketua pesuruhjaya SPRM, dilantik menerajui agensi antirasuah itu pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang meletak jawatan susulan kejatuhan kerajaan PH.
Kontraknya kemudian disambung dua kali. Beliau diberikan lanjutan setahun pada 10 Mei 2023 dan setahun lagi tahun lalu.
Pada akhir 2021, Azam menjadi perhatian media susulan dakwaan pemilikan saham dan waran. Beliau menafikan sebarang salah laku, walaupun beberapa kumpulan pemantau serta pemimpin PH menggesa siasatan ke atasnya.
Pada Januari 2022, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah mengumumkan ia berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa beliau tiada sebarang kepentingan dalam pemilikan saham didakwa miliknya kerana akaunnya digunakan adiknya, Nasir untuk membeli saham itu.
Dalam perkembangan lain, Lee turut mengkritik laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang didakwa kurang memberi penekanan terhadap sains dan matematik.
Beliau mendedahkan bahawa dalam laporan tersebut, istilah ‘bahasa’ disebut sebanyak 33 kali manakala istilah ‘sains’ hanya muncul empat kali dan ‘matematik’ lapan kali.
“Baik kita menghadam satu fakta pahit yang menyaksikan sememangnya ketinggalan skor Program Pendidikan Pelajar Antarabangsa (Pisa) kita, dengan bacaan (388 berbanding purata 476), sains (416 berbanding purata 485), dan matematik (409 berbanding 472).
“Kesan ini mula terasa apabila negara jiran seperti Vietnam telah melangkah lebih jauh dalam industri teknologi kerana tenaga kerja mereka lebih mahir menguasai sains dan teknologi,” katanya menggesa Kementerian Pendidikan membentangkan hala tuju pemerkasaan STEM yang lebih jelas.
