
PETALING JAYA: Kerajaan Selangor membatalkan projek ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor atas nasihat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan menangguhkan sementara lokasi alternatif atau sehingga kaedah lebih sesuai ditemui.
Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata keputusan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu selepas Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim memaklumkan bantahan keras terhadap projek berkenaan.
“Sebenarnya, sebelum PM (perdana menteri) maklum pada kita (cadangan batalkan dahulu projek), memang MMKN memberikan arahan untuk mencari alternatif kawasan kerana kita lihat ada bantahan keras di Bukit Tagar.
“Kemudian diikuti cadangan PM yang saya sambut baik. Tapi kita tidak akan maklumkan lagi kawasan-kawasan itu ataupun cadangan lain kerana kita belum putuskan lagi,” katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.
Jumaat lalu, Anwar dilapor mencadangkan projek itu dibatalkan selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri berpandangan isu berkenaan membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum di sekitar kawasan terbabit yang perlu diberikan perhatian.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 12 Jan lalu murka dengan rancangan kerajaan negeri membenarkan penternakan babi berskala besar di Tanjung Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Baginda menzahirkan kebimbangan kerana Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu dan sehingga kini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan itu gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.
Amirudin berkata, Anwar memaklumkan cadangan pembatalan projek itu menerusi panggilan telefon ketika beliau berada di luar negara untuk pemukiman sebuah agensi kerajaan negeri.
Beliau mengakui rancangan itu diumumkan terlalu awal sehingga mencetuskan pelbagai perdebatan.
“Memang isu ini agak separuh masak sebab apa-apa pun belum dihantar, tapi (kelihatan) macam kita dah nak pacak (bina) semalam atau hari ini.
“Tidak mengapa, kita belajar daripada hal tersebut, mungkin ada yang terlebih umum, agak mendahului kerana yang sepatutnya penglibatan dengan pengusaha perlu dibuat.”
