
PETALING JAYA: Banyak negara menurunkan nasihat perjalanan ke pantai timur Sabah daripada tahap berjaga-jaga tertinggi selepas keselamatan semakin terjamin, kata Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan.
“Alhamdulillah, daripada 25 negara itu, banyak negara yang sudah pun mengurangkan tahap nasihat perjalanan kepada rakyat mereka, daripada Tahap Tiga ke Tahap Dua, maknanya boleh dilawati tapi masih disebut supaya berhati-hati,” katanya ketika menjawab soalan Verdon Bahanda (bebas-Kudat) di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, Sabah sebelum ini tertakluk kepada nasihat perjalanan ketat atas kebimbangan meluas terhadap penculikan untuk tebusan dan lanun.
“Penculikan untuk tebusan dan lanun sangat aktif di Sabah. Banyak negara mengeluarkan nasihat perjalanan. Kira-kira 25 negara menilai ia pada Tahap Tiga, yang pada dasarnya bermaksud jangan ke Sabah akibat risiko berkaitan.”
Mohamad yang lebih dikenali Tok Mat berkata, kerajaan mengambil langkah tegas meningkatkan keselamatan, termasuk melalui penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
“Salah satu inisiatif ialah penubuhan ESSCom, yang telah membantu mengatasi masalah lanun,” katanya sambil menambah agensi penguatkuasaan, khasnya polis dan Kementerian Pertahanan mempertingkatkan operasi keselamatan di darat serta laut.
Menurutnya, tiada laporan penculikan untuk tebusan dan lanun diterima sepanjang empat hingga lima tahun lalu.
Katanya, Wisma Putra aktif berhubung dengan kerajaan asing untuk menunjukkan keadaan semakin baik di lapangan.
“Di kementerian saya, kami ada delegasi membawa perwakilan asing – terutama negara yang mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat mereka, ke sana setiap tahun untuk pastikan mereka dapat melihat sendiri keadaan tidak lagi seperti dahulu.”
