Rakyat El Salvador bantah perintah darurat kontroversi

Orang ramai menyertai tunjuk perasaan menentang ‘kemunduran demokrasi’ oleh kerajaan pimpinan Presiden Nayib Bukele di San Salvador. (Gambar EPA Images)

SAN SALVADOR: Penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara El Salvador pada Ahad untuk membantah perintah darurat kontroversi dilaksanakan Presiden Nayib Bukele, yang membenarkan pihak berkuasa menahan individu tanpa waran.

Dasar diumumkan Bukele pada 2022 itu sebahagian daripada usaha membanteras kumpulan samseng, yang menyaksikan lebih 90,000 orang ditahan di negara kecil Amerika Tengah itu.

Menurut sumber rasmi, hanya sekitar 8,000 orang dibebaskan selepas didapati tidak bersalah.

Perintah darurat itu menyebabkan kadar jenayah berkurangan ke tahap terendah dalam sejarah El Salvador, tetapi pengkritik mengecam penahanan sewenang-wenangnya serta penyeksaan dalam tahanan sebagai pelanggaran hak asasi manusia.

“Kami menuntut perintah darurat ini ditamatkan dan hak kepada jaminan perlembagaan,” kata Sonia Urrutia, jurucakap sebuah kumpulan aktivis kepada AFP.

Beberapa kumpulan aktivis turut menyertai tunjuk perasaan itu, termasuk Gerakan Mangsa Rejim yang menggesa mahkamah mengisytiharkan perintah darurat itu tidak berperlembagaan.

Menurut kumpulan hak asasi Socorro Juridico Humanitario, 470 rakyat El Salvador meninggal dunia di penjara sejak tindakan keras Bukele bermula.

Protes jalanan di pusat bandar San Salvador itu juga bertujuan memperingati pemeteraian perjanjian damai pada Januari 1992 yang menamatkan perang saudara selama berdekad di El Salvador.

Author: admin