MB mahu selesai isu pentadbiran, bukan campur tangan urusan PAS, kata Bersatu

Tun Faisal Ismail
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz nafi cadangan menteri besar Perlis cubaan campur tangan dalam urusan PAS.

PETALING JAYA: Bersatu nafi cadangan mengekalkan tiga bekas Adun PAS di Perlis sebagai wakil rakyat berstatus bebas adalah cubaan campur tangan dalam urusan PAS.

Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz berkata cadangan Menteri Besar Abu Bakar Hamzah itu untuk menyelesaikan isu pentadbiran berkaitan pengagihan peruntukan kepada rakyat di tiga DUN terbabit.

Menurutnya, kedudukan tiga bekas Adun berkenaan ‘tergantung’ sehingga kes mereka di mahkamah berkait pengumuman kekosongan kerusi oleh Speaker DUN Rus’sele Eizan selesai.

“Cadangan ini adalah bagi menentukan kedudukan tiga Adun bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat dalam kawasan masing-masing,” kata Tun Faisal di Facebook.

“Cadangan ini tiada kaitan dengan tindakan PAS terhadap ahli-ahli mereka. Hal PAS untuk menggugurkan atau memecat ahli mereka adalah urusan PAS.”

Ridzuan Hashim, Fakhrul Anwar Ismail dan Saad Seman memfailkan semakan kehakiman terhadap Rus’sele di Mahkamah Tinggi Kangar, selepas Guar Sanji, Bintong, dan Chuping diisytiharkan kosong, susulan penamatan keahlain mereka yang didakwa menarik balik sokongan terhadap menteri besar terdahulu, Shukri Ramli.

Abu Bakar, yang juga ketua Bersatu Perlis, semalam berkata ketidaktentuan semasa menjejaskan penduduk di tiga kawasan tersebut, terutama dalam urusan mendapatkan bantuan dan perkhidmatan kebajikan.

Beliau mengharapkan suatu penyelesaian bagi memastikan kestabilan politik dan kebajikan rakyat terpelihara, mencadangkan tiga bekas Adun PAS berkenaan dikekalkan sebagai wakil rakyat berstatus bebas, dan kemudian mereka menarik balik saman terhadap speaker.

Susulan cadangan Abu Bakar itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, hari ini berkata “tak perlu campur tangan urusan parti lain” kerana keahlian tiga individu berkenaan terhenti kerana langgar disiplin yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Menteri besar cukup jaga negeri dan pastikan tidak jadi menteri besar Perlis tersingkat dalam sejarah, cukup sudah itu,” katanya di Facebook.

Author: admin