
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset dan kenderaan mewah, keseluruhannya berjumlah RM9.7 dalam siasatan kes penyelewengan dana pelaburan berjumlah RM300 juta membabitkan individu bergelar ‘Tan Sri’.
Sumber memaklumkan sitaan itu membabitkan enam rumah bernilai RM6.54 juta, satu lot tanah (RM1.8 juta) dan dua kenderaan mewah (RM1.35 juta).
“Sebanyak 14 akaun bank turut disita, namun nilai amaun masih dalam proses pengesahan bank,” katanya.
Sumber itu berkata individu yang bergelar Tan Sri itu yang direman sejak Khamis lalu dibebaskan hari ini.
Turut dibebaskan semalam, seorang wanita bergelar Datuk yang direman lima hari.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan maklumat itu dan turut memaklumkan sehingga kini, seramai 10 orang saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan.
Menurutnya, SPRM giat mengesan saksi-saksi lain bagi membantu melengkapkan siasatan dengan kadar segera.
Siasatan SPRM setakat ini mendapati kes penyelewengan dana pelaburan dikendalikan seorang pakar pelaburan terkenal bergelar Tan Sri itu membabitkan sekurang-kurangnya 1,700 mangsa.
Turut dikesan sejumlah hampir RM300 juta dikutip daripada pelabur 2021 hingga 2024.
Namun semakan menunjukkan dana dikutip telah diseleweng dan dibelanjakan untuk tujuan selain daripada yang dipersetujui dalam perjanjian dengan pelabur.
