
PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menyifatkan hukuman menggugurkan keahlian tiga bekas Adunnya di Perlis dilakukan secara tergesa-gesa tanpa merujuk Majlis Syura Ulama.
Beliau berkata sebarang tindakan perlu mencontohi hikmah serta pendekatan tarbiah yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam mengadili sesuatu kesalahan.
Katanya, Majlis Syura Ulama akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan secara terperinci rayuan berhubung status keahlian yang dikemukakan tiga bekas Adun terbabit, iaitu Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping).
“Isu tersebut sebelum ini telah dibawa sepintas lalu dalam sesi sebelum ini dan mesyuarat akan datang bakal membincangkan dengan lebih mendalam serta menentukan keputusan.
“Saya ingin memberi anologi satu kisah mengenai seorang wanita yang mengaku berzina dan meminta dihukum oleh Rasulullah, namun baginda menangguhkan hukuman tersebut beberapa kali demi menjaga kebajikan kandungan dan anak yang bakal lahir itu. Apa maknanya, di dalam Islam ada pertimbangan.
“Bertitik tolak daripada sirah itu, saya menyarankan agar pimpinan mengambil iktibar dengan tidak memuktamadkan hukuman sehingga menutup terus ruang untuk ahli bertaubat atau membetulkan kesilapan, terutama apabila melibatkan mereka yang mempunyai tanggungan,” katanya, menurut Mingguan Malaysia.
Hashim berkata beliau tidak membantah hukuman dikenakan oleh Jawatankuasa PAS Pusat itu namun ia dilihat dilakukan dengan gopoh.
“Apabila mereka mengemukakan rayuan, kita akan bincang dengan lebih mendalam perkara ini dalam Mesyuarat Syura akan datang,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat Wan Rohimi Wan Daud berkata tiga bekas Adun itu tidak dipecat melalui proses tatatertib tetapi status keahlian mereka terhenti mengikut peruntukan Perlembagaan parti.
Justeru katanya, status mereka adalah muktamad dan tidak boleh dirayu semula.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini telah mengemukakan rayuan rasmi berhubung status keahlian dalam PAS kepada Majlis Syura Ulama, yang dibuat berlandaskan peruntukan sah dalam Perlembagaan PAS.
