
Jumaat lalu lalu, kerajaan mengumumkan penarikan balik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bagi tujuan penambahbaikan sebelum dibentangkan semula kelak.
Menurut jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil, langkah itu diambil selepas mengambil kira pandangan Ahli Parlimen yang menyuarakan kebimbangan mengenai RUU berkenaan, termasuk anggota Jemaah Menteri.
Dalam jemaah menteri itu, ada lapan wakil dari Barisan Nasional (BN) dengan Umno memegang lapan portfolio dalam pentadbiran diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Jika diperhatikan, Umno serta parti lain dalam kerajaan perpaduan telah menyuarakan pandangan mereka sehingga kerajaan membuat keputusan menarik balik bacaan kedua RUU terbabit pada Ogos lalu.
Bahkan, pada 3 Okt lalu, Umno menganjurkan Konvensyen PSB yang dipengerusikan Johari Ghani, di mana tiga resolusi utama telah dicadangkan.
Konvensyen itu turut mengusulkan 14 cadangan khusus bagi menutup kelemahan ketara dalam draf RUU PSB yang dibentangkan sebelum ini.
Salah satu cadangan penting adalah pembayaran pampasan kepada pemilik rumah yang melibatkan nilai penuh hartanah, kos gangguan semasa pemindahan, serta pampasan akibat kehilangan pendapatan – bukannya semata-mata berdasarkan nilai pasaran semasa.
Situasi ini menunjukkan apabila Umno berada dalam Kabinet, parti berkenaan mampu berbincang secara berhemah tanpa perlu mengeluarkan ucapan berapi-api di luar Kabinet yang selalunya tidak membawa sebarang hasil.
Namun begitu, timbul persoalan bagaimana jika Umno berada di luar kerajaan, seperti digesa Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.
Pada 3 Januari lalu, semasa konvensyen khas sayap Pemuda, beliau mencadangkan parti itu keluar daripada kerajaan perpaduan dan bergabung dengan PAS sebagai pembangkang.
Gesaan itu mungkin bertujuan menegaskan peranan Umno sebagai suara rakyat secara lebih tegas di luar kerajaan.
Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN, menegaskan parti kekal dalam kerajaan perpaduan dan tidak bercadang untuk menarik diri.
Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan penarikan balik RUU PSB, Dr Akmal menulis di Facebook: “Alhamdulilah, terima kasih menteri-menteri BN yang membawa suara rakyat.”
Kenyataan itu jelas menghargai peranan wakil BN/Umno dalam Kabinet yang memungkinkan suaranya didengar dalam isu sering dikaitkan DAP memandangkan dibawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dari parti berkenaan.
Menerusi komen di hantaran itu, seorang pengguna menulis: “Akmal Saleh, sebab itu Umno kena duduk dalam kerajaan. Kalau jadi pembangkang, kerajaan tak layan pun kalau bantah.”
Seperti yang dikatakan pengguna media sosial itu, Umno mungkin lebih mudah mencapai cita-cita termasuk menyelesaikan urusan rakyat jika berada dalam kerajaan berbanding sekadar melaungkan bantahan di luar.
Bayangkan jika gesaan Akmal dilaksanakan dan Umno meninggalkan kerajaan. Parti itu mungkin akan bersama PAS melaungkan anti-RUU PSB di tempat awam bawah cuaca panas terik, tetapi tanpa sebarang penyelesaian konkrit.
Sebaliknya, apabila berada dalam kerajaan perpaduan, Umno mempunyai kelebihan berbincang secara berhemah di meja bulat Kabinet dan membawa hasrat rakyat kepada perbincangan yang nyata.
RUU PSB yang ditarik balik ini menjadi contoh bagaimana Umno dalam kerajaan mampu menegaskan pandangannya dan memastikan kepentingan rakyat diambil kira.
Dengan kedudukan semasa, Umno bukan sahaja menjaga imej parti, tetapi juga memastikan keputusan dasar mampu memberi impak langsung kepada rakyat.
Mungkin keputusan kerajaan menangguhkan RUU PSB memperlihatkan bahawa pengaruh Umno dalam Kabinet nyata lebih produktif daripada berdebat di luar.
Cakap-cakap Umno keluar kerajaan mungkin akan terus kedengaran sehingga PRU16 yang dibuat atas pertimbangan politik kerada ada DAP menerusi Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran itu.
Namun dengan perkembangan berkait RUU PSB ini, diharapkan fokus perlu diberi kepada pentadbiran untuk kesejahteraan rakyat bukan terus bermain politik.
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
