
PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menegaskan, peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Jan lepas adalah muktamad, walaupun terdapat percubaan oleh pihak tertentu untuk memujuk beliau menarik balik keputusan itu.
Zainol Fadzi Paharudin berkata, mereka yang cuba memujuk presiden Bersatu itu untuk menarik balik peletakan jawatannya berbuat demikian kerana bimbang kedudukan mereka akan terjejas jika Muhyiddin tidak lagi memimpin PN.
Dalam kenyataan hari ini, Zainol turut menegaskan, PAS telah menyatakan kesediaan untuk memimpin PN, dan pemimpin parti itu telah memaklumkan perkara tersebut kepada Muhyiddin dalam pertemuan bersamanya.
“Biar mesyuarat Jawatankuasa PN Pusat membuat keputusan berdasarkan peraturan mesyuarat,” katanya.
Kenyataan Zainol itu menyusuli satu laporan berita yang memetik sumber dari PAS sebagai berkata, Muhyiddin mungkin dilantik semula sebagai pengerusi PN memandangkan parti Islam itu sukar mencapai kata sepakat mengenai penggantinya.
Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menafikan laporan tersebut, menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘propaganda’ yang dicipta oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Muhyiddin mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan pengerusi PN pada 30 Dis lepas, berikutan krisis politik di Perlis.
Di Perlis, Adun Sanglang Shukri Ramli daripada PAS meletak jawatan sebagai menteri besar, sebelum digantikan oleh Adun Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu.
Awal minggu ini, Muhyiddin berkata, beliau lebih daripada bersedia untuk menyerahkan jawatan pengerusi PN kepada PAS, namun menegaskan pendirian Bersatu bahawa pengerusi PN seterusnya haruslah presiden parti.
Presiden PAS Hadi Awang sebelum ini menuntut jawatan pengerusi PN bagi pihak partinya, walaupun beliau dikatakan menolak memegang jawatan itu sendiri atas faktor kesihatan.
Antara tokoh yang disebut-sebut sebagai pengganti Muhyiddin ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga menteri besar Terengganu.
