
SHAH ALAM: MIC saran masyarakat India mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua lapangan kehidupan.
Presiden SA Vigneswaran berkata bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi utama di Malaysia yang berbilang kaum, bahkan sejarah menunjukkan ramai penyanyi berketurunan India menyanyikan lagu-lagu Melayu dengan sangat baik.
“Saya mahu generasi pelapis masyarakat India terus meningkatkan penggunaan bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita di Pesta Pongal Bukit Kemuning.
Dalam pada itu, Vigneswaran mengalu-alukan langkah mewajibkan rakyat Malaysia di semua aliran sekolah mengambil subjek bahasa Melayu.
“Ia selari dengan titah Agong yang mahu bahasa Melayu terus diperkasakan,” katanya.
Rakyat di semua aliran sekolah, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah yang menawarkan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), wajib mengambil subjek bahasa Melayu dan sejarah Malaysia, menurut pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 20 Jan lalu.
Dengan kaedah ini, perdana Menteri berkata laluan pelajar sekolah berkenaan untuk ke pendidikan tinggi tidak lagi harus menjadi kontroversi.
