
SHAH ALAM: Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata partinya akan mengadakan mesyuarat selepas Perikatan Nasional (PN) meluluskan permohonannya untuk menyertai gabungan pembangkang itu.
Menurutnya, beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat dalam masa terdekat, tanpa memberikan tarikh.
“Saya akan bincang perkara ini dengan Jawatankuasa Kerja Pusat untuk menyertai PN. Kita akan bermesyuarat dalam masa terdekat dan umum tarikhnya,” katanya dalam sebuah majlis di Bukit Kemuning.
Khamis lalu, bekas pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mengesahkan gabungan itu sudah meluluskan permohonan kemasukan MIC.
Beliau berkata, PN bersetuju menerima permohonan MIC seawal tahun lalu dan kini menunggu kata putus parti itu.
Spekulasi MIC meninggalkan Barisan Nasional (BN) berlegar sejak sekian lama, khususnya selepas perhimpunan agung ke-79 parti itu November lalu, apabila perwakilan meluluskan usul memberi kuasa kepada kepimpinan untuk mempertimbangkan langkah itu akibat rasa tidak puas hati terhadap peranannya dalam kerajaan.
Tetapi, beberapa pemimpin Umno berulang kali menepis spekulasi itu, dengan Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, ia tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada MIC dan menegaskan parti itu masih sebahagian daripada BN.
